Pemimpin Umno sokong mansuh kuota
Beberapa pemimpin Umno hari ini menyokong sistem pemilihan Umno dikaji semula, khususnya berhubung sistem kuota kelayakan bertanding bagi jawatan tertinggi parti itu.
Ini kerana sistem tersebut mendorong perwakilan dan pemimpin yang bertanding terbabit dalam politik wang atau sogokan politik.
Dalam ucapan dasarnya di perhimpunan agung Umno pagi tadi, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan agar ahli akar umbi diberi hak untuk memilih ketua, terutama bagi jawatan utam parti bagi menanggani amalan politik wang.
Dalam sistem kuota sekarang, calon bagi jawatan presiden memerlukan 59 pencalonan, timbalan presiden (39), naib presiden (20) dan kerusi Majlis Tertinggi (11 pencalonan).
Timbalan Ketua Perhubungan Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin, bersetuju sistem kouta itu dimansuhkan.
Katanya, ia selaras dengan hasrat ahli perwakilan dan akar umbi untuk melakukan perubahan dalam parti bagi membanteras politik wang.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said pula berkata, sudah sampai masanya untuk Umno berubah, sesuai dengan kehendak semasa.
Menurut Ahmad, beliau percaya sekiranya Umno tidak berubah, parti itu tidak akan popular lagi.
Pilih pemimpin
Katanya, pemansuhan sistem kuota akan memberi peluang kepada akar umbi untuk memilih pemimpin mereka dengan lebih telus.
Manakala calon naib presiden, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik berkata, Umno perlu melakukan reformasi, terutama menghapuskan sistem kouta supaya ahli akar umbi dapat memilih pemimpin mereka.
Beliau menjangka usul tersebut akan menjadi satu perbincangan menarik di kalangan para perwakilan dalam perhimpunan agung Umno kali ini.
Sementara ahli veteran Umno, Tan Sri Sabaruddin Chik berkata, ahli Umno juga bersetuju sistem kuota itu dimansuhkan.
Katanya, ia selaras dengan tuntutan masa yang mendesak untuk Umno berubah.
Mengulas mengenai ucapan dasar Abdullah pagi tadi, calon ahli majlis tertinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkannya sebagai nasihat dan panduan yang berguna kepada perwakilan.
Tambahnya, ucapan tersebut, datang dari keikhlasan hati Abdullah.
"Beliau nampaknya begitu nostalgia," katanya kepada pemberita.
Manakala bekas ketua bahagian Jerai, Datuk Badruddin Amiruldin pula berkata ucapan Datuk Seri Abdullah amat bermakna kepada perwakilan untuk meneruskan perjuangan Umno pada masa akan datang.

