Shahrizat tekad perjuang isu wanita
Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bertekad memimpin pergerakan itu untuk terus bersatu padu dan berjuang habis-habisan mengarusperdanakan isu wanita.
Shahrizat berkata perjuangan itu sudah semestinya tidak akan berjaya tanpa sokongan kepimpinan yang baru dan semua ahli Umno.
Beliau turut akui bukan mudah mewarisi legasi kepimpinan bekas ketua pergerakan wanita Tan Sri Rafidah Aziz yang mengemudi Wanita Umno sejak sekian lama, lapor Bernama.
"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul," katanya dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2008 hari ini.
Menurut Shahrizat, Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mungkin juga resah dan bimbang sama ada mampu atau tidak beliau menerajui Wanita Umno.
"InsyaAllah berkat sokongan semua saya bersama naib ketua Wanita dan barisan exco lain akan berjuang bersama-sama presiden dan barisan kepimpinan untuk membuka lembaran dan era baru dalam politik tanah air," katanya
Dalam ucapan penggulungan itu, Shahrizad turut melahirkan ucapan terima kasih terhadap kepimpinan terdahulu yang banyak membimbingnya selama ini kerana kekuatan dan keberanian yang ada pada dirinya adalah berkat jasa dan tunjuk ajar mereka, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Rafidah.

