Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang calon bebas A Jayagopal mendakwa PKR memujuknya supaya menarik diri dan memberi sokongan kepada parti itu dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau, Selasa depan.

Dakwanya, pemimpin PKR dari Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang telah tiga kali menemuinya berhubung perkara tersebut.

bukit selambau nomination 290309 a jayagopal "Kali pertama pada 28 Februari lalu, kemudian dua hari selepas penamaan calon dan kali terakhir jam 5 pagi tadi di Sungai Lalang.

"Orang yang sama juga dua kali menghubungi saya melalui telefon. Tetapi perbincangan ini tidak membabitkan wang ringgit," katanya.

Jayagopal juga mendakwa, beliau mendapat tahu ada beberapa calon bebas turut dipujuk supaya menarik diri.

Bagaimanapun, Jayagopal memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa beliau tidak akan menarik diri daripada pilihanraya kecil tersebut.

Jayagopal, ketua PKR bahagian Pokok Sena, digantung keahlian pada 2004 kerana membawa parti ke mahkamah.

Hari ini, Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali menjelaskan bahawa Jayagopal bukan lagi ahli PKR.

Pengaruh di Bukit Selambau

Jayagopal mendakwa pemimpin PKR mahu beliau menarik diri kerana merasakan beliau boleh menggugat peluang calon PKR, S Manikumar.

"Kini baru mereka tahu pengaruh saya di kalangan pengundi Bukit Selambau, khususnya masyarakat India," katanya.

Jayagopal juga menolak dakwaan bahawa beliau disokong oleh Umno.

"Saya tiada kaitan langsung dengan Umno. sebaliknya sejak pilihanraya umum 1986 saya menyokong PAS," katanya.

Ketika ditanya mengenai peluangnya, Jayagopal berkata, setakat ini, "antara 35 hingga 40 peratus".

Katanya, masalah utama yang dihadapinya ialah kewangan kerana "rakan-rakan yang sebelum ini berjanji untuk membantunya, belum berbuat demikian".

"Saya berharap mereka berbuat demikian secepat mungkin bagi lebih banyak poster dapat dicetak sebelum hari mengundi Selasa ini," katanya.

ADS