'Nizar tidak tegaskan masih MB Perak'
Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Abdul Khadir sekali lagi merpertikaikan dakwaan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa beliau masih lagi menteri besar yang sah.
"Kalau betul, dalam borang pencalonan dia (Mohammad Nizar), tulislah (jawatan sebagai) menteri besar. Tetapi dia tulis ADUN Pasir Panjang.
"Selama ni dia dok cerita kat seluruh dunia bahawa dia menteri besar yang sah," kata Zambry.
Beliau menyampaikan ceramah mega BN bersama bekas bekas ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd Nor di Changkat Jering, Bukit Gantang malam tadi.
Mengulas lagi kontroversi perebutan kuasa antara BN dan Pakatan Rakyat di negeri itu, Zambry berkata:
"Dulu yang lantik dia (di bawah) bidang kuasa sultan. Tapi sekarang siapa yang melantik dia ni? (Ahli parlimen Taiping) Ngah Kor Ming? (Pengerusi DAP Perak) Ngeh Koo Ham?"
Beliau juga mendakwa Pakatan Rakyat mengedar kain batik dan keropok kepada penduduk Air Kuning, dekat Changkat Jering bagi mempengaruhi pengundi.
Tindakan menyogok itu, jika benar, "kena kepada batang hidung (PAS) sendiri" dan "memulangkan paku buah keras" kerana tuduhan itu dahulunya sering dilemparkan kepada BN, tambah Zambry yang juga ADUN Pangkor.
"Bagi batik ambil, bagi keropok ambil, bila undi pangkah BN," katanya lagi, mengajuk kata-kata yang dipopularkan Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat sejak 1990-an bagi menentang sogokan ketika pilihanraya.
Bercakap kepada media selepas ucapannya, Zambry menegaskan beliau tidak menuduh PAS tetapi hanya "menyampaikan apa yang didengar."
"Tetapi kita tahu, orang kampung ini, mereka sangat jujur," tambahnya.
Mengulas larangan baru ceramah, antaranya, tidak boleh menyentuh kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan mempersoalkan keputusan sultan, Zambry berharap BN dan Pakatan mematuhi arahan itu.
Bagaimanapun, beliau mendakwa tidak mengetahui mengenai larangan berceramah selepas jam 11 malam di kawasan kampung.
"Itu saya tidak tahu pula, kalau ada arahan baru dari polis. Yang itu kena dimaklumkan kepada kita. Yang itu saya tidak tahu," katanya yang menghabiskan ceramahnya pada kira-kira jam 11.10 malam.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam mengeluarkan larangan mengejut kepada parti-parti bertanding di tiga kawasan pilihanraya kecil - termasuk DUN Bukit Selambau di Kedah dan DUN Batang Ai di Sarawak - agar tidak membangkitkan isu pembunuhan wanita Mongolia itu dan keputusan institusi raja.
Ceramah BN itu yang dihadiri kira-kira 400 penduduk – kebanyakannya wanita dan orang tua – tamat hampir jam 12 tengah malam.
Sementara Ezam juga dalam ucapannya selepas itu menyebut perkataan "Altantuya", walaupun sekali sahaja dan tidak mengulas lanjut mengenainya.
Ezam menyebut perkara itu ketika mengulas barisan baru kepimpinan Umno yang dikepalai Datuk Seri Najib Razak yang disifatkannya sebagai kumpulan pilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu beliau belum dipecat pada 1998.

