MB Perak: Mahkamah putus Isnin ini
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan putuskan Isnin ini menteri besar Perak yang sah antara Datuk Seri Zambry Abd Kadir dari BN dan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat.
Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim akan mengumumkan pada jam 2.30 petang keputusan mengenai permohonan Mohammad Nizar pada 13 Februari lalu agar mahkamah mengisytiharkan beliaulah Menteri Besar yang sah dan Dr Zambry tidak berhak memegang jawatan itu.
Mohammad Nizar, 52, dilantik pada 17 Mac tahun lalu setelah pakatan DAP, PAS dan PKR menang 31 daripada 59 kerusi dalam pilihanraya umum pada 8 Mac, lapor Bernama.
Bagaimanapun, setelah tiga ADUN Perak dari pakatan itu keluar parti, masing-masing untuk menyokong BN awal tahun ini, maka Sultan Perak melantik Dr Zambry sebagai menteri besar setelah Mohammad Nizar kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan kerana Barisan Nasional pula menguasai 31 kerusi.
Dalam afidavitnya, Mohammad Nizar berkata beliau masih Menteri Besar kerana antara lainnya, tidak ada undi tidak percaya dibuat terhadapnya dalam DUN dan beliau tidak meletak jawatan.
Semasa prosiding hari ini, peguam utama beliau, Sulaiman Abdullah,
memberitahu mahkamah bahawa krisis politik di Perak boleh diselesaikan dengan memberikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin mereka.
"Keputusan melucutkan jawatan pemimpin itu bukannya terletak pada Sultan mahupun rakyat. Dalam situasi ini, wakil rakyat (ADUN) adalah penentunya," kata Sulaiman.
Zambry diwakili peguam Datuk Cecil Abraham, Sunil Abraham dan Farah Shuhadah Razali manakala Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertindak sebagai pencelah.

