SMS ugut: Waran tangkap Dr Ramzi
kemaskini 5.58pm Polis akan mendapatkan waran tangkap terhadap Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir kerana gagal membantu siasatan berhubung SMS ugutan kepada tiga ADUN Terengganu bulan lepas.
Polis negeri berkata petang ini, bekas setiausaha politik mantan menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh belum memberi keterangan walaupun diberikan tempoh 72 jam untuk berbuat demikian, lapor Bernama .
"Sebagaimana yang dimaklumkan dalam sidang media yang lepas, kita memberikan beliau tempoh tiga hari untuk tampil sebelum waran tangkap dikeluarkan dan tempoh itu telah berakhir pada pukul 3 petang ini.
"Sehingga pukul 3 petang tadi, belum ada tanda-tanda yang menunjukkan Dr Ramzi muncul atau datang memberikan keterangan berhubung kes itu," Timbalan Ketua Polis Terengganu SAC II Hamzah Mohd Jamil dipetik berkata di pejabatnya hari ini.
Tambahnya, polis akan meminta kerjasama daripada Jabatan Imigresen serta Interpol bagi mengesan Ramzi, calon BN di Marang pada pilihanraya umum lepas, sama ada masih berada dalam negara atau sebaliknya.
Selain meminta keluarga Dr Ramzi, beliau juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kedudukan lelaki itu supaya menghubungi balai polis yang berhampiran.
Dr Ramzi dicari polis kerana beliau antara individu yang pernah
mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung SMS ugutan yang diterima tiga ADUN Umno: Datuk Rosol Wahid (Ajil), Abdul Halim Jusoh (Permaisuri) dan Zakaria Abdullah (Paka) pada 13 April lepas.
Sebelum ini, polis cuba mengesannya di kediaman beliau di Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur tetapi gagal.
Ahmad Ramzi diminta menemui atau menghubungi pegawai penyiasat kanan Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Terengganu, ASP Mohd Hadzwan Zulkefle di talian 09-62 46 222.
Mesej ringkas itu kemudian dijadikan alasan mereka bertiga dan tujuh lagi ADUN Umno enggan hadir pada hari kedua persidangan DUN Terengganu keesokannya.
Dalam siasatannya, polis telah menahan seorang kerani syarikat swasta berusia 31 tahun dari Seri Kembangan, Selangor, di Bandar Baru Bangi pada 20 April lepas, kerana disyaki menghantar SMS itu.
Lelaki itu dibebaskan setelah ditahan reman selama tujuh hari.
Sebelum ini dilaporkan polis telah mengambil keterangan daripada beberapa saksi berhubung kes itu dan hanya menunggu Ahmad Ramzi untuk tampil memberi keterangan.

