Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
H1N1: Lelaki dari Thai masuk hospital
Diterbitkan:  May 13, 2009 6:56 PM
Dikemaskini: 11:11 AM

Seorang lelaki yang melawat Thailand minggu lepas dimasukkan ke hospital Ipoh hari ini setelah mempunyai tanda-tanda menyamai serangan virus influenza A (H1N1) atau selesema babi.

Exco kerajaan Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata lelaki 51 tahun itu menghidap selesema, batuk, demam serta mengalami cirit-birit semasa mendapatkan rawatan di Hospital Taiping semalam, lapor Bernama .

Agensi berita itu juga melaporkan, Thailand kini mempunyai dua kes jangkitan virus tersebut sejak disahkan serangan awak tersebut, semalam.

Dr Mah berkata sebagai langkah berjaga-jaga, hospital menahan lelaki terbabit dan menjalankan beberapa ujian bagi mendapatkan punca sebenar serangan penyakit ini.

Katanya lelaki berkenaan dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun pada pukul 12.40 tengah hari ini.

"Sampel darah telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di Kuala Lumpur dan kajian terhadap sampel darah akan mengambil masa 10 jam... keputusan ujian ini hanya akan diketahui esok," beliau dipetik berkata hari ini.

Tambahnya, lelaki dari Taiping itu mengunjungi Thailand pada Jumaat lepas dan berada di negara itu selama tiga hari.

Menurut agensi berita itu lagi, pemeriksaan juga akan dibuat terhadap kenalan dan saudara-mara lelaki berkenaan yang berada bersamanya sejak kembali dari Thailand.

"(Tindakan) ini bukan untuk menakut-nakutkan orang ramai tetapi saya ingin berpesan kepada orang ramai agar segera membuat pemeriksaan di mana-mana pusat perubatan terdekat jika mengesyaki tanda serangan virus berkenaan," katanya.

Sebelum ini, beberapa kes yang dikesan di Sarawak, Pulau Pinang dan Selangor, disahkan sebagai negatif.

Tiga lagi negara disahkan dijangkiti influenza A (H1N1) di seluruh dunia, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 33 negara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan tiga negara baru yang mencatat kes itu ialah Thailand (dua kes), Finland (dua kes) dan Cuba (satu kes).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dilaporkan berkata WHO juga mengesahkan jumlah kes di seluruh dunia kini

meningkat kepada 5,287 kes dengan 61 kematian, yang terbaru membabitkan lapan nyawa di Mexico.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS