Radzi: Tidak perlu layan Hashim
Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad mendakwa bekas ketua penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh "seorang yang kecewa dan tidak perlu dilayan".
Radzi, baru dilantik menggantikan Hashim, berkata penentangnya boleh bercakap apa sahaja yang beliau hendak cakap.
"Saya tidak ada masalah dengan dia (Hashim). Saya juga tidak kisah dengan dia. Ini benda kecil," katanya, membalas kecaman Hashim terhadapnya semalam.
"Dia buat kerja apa sebagai ketua penerangan Umno Perlis?"
Menurut Radzi, beliau antara lapan ahli parlimen BN yang berjaya meningkatkan majoriti dalam pilihanraya umum lalu.
Ahli parlimen Kangar diminta mengulas kenyataan Hashim bahawa beliau "tidak pandai menjalin hubungan dengan orang lain."
"Umno Perlis menjadi kacau-bilau kerana tindakan-tindakan bekas setiausaha agung Umno itu," kata Hashim.
Dalam reaksi terhadap kenyataan Radzi hari ini, Hashim terus memburukkan ahli parlimen itu dengan mendakwa beliau tidak pernah hadir di majlis-majlis bersama rakyat yang dianjurkan setiap minggu di
Perlis.
Dalam emelnya kepada Malaysiakini petang ini, Hashim berkata Radzi juga tidak pernah hadir dalam konvensyen-konvensyen Umno yang diadakan setiap tahun.
"Radzi dan rakan-rakannya juga tidak pernah turut serta dalam pilihanraya-pilihanraya kecil yang diadakan di seluruh negara," kata Hashim lagi.
Menyifatkan kenyataan Radzi bahawa rungutan terhadapnya tidak perlu melayan sebagai "cukup angkuh", Hashim terus mengungkit peranan bekas menteri itu dalam pilihanraya umum tahun lepas.
"Yang perlu diperjelaskan adalah betapa Radzi sebenarnya punca kemelut politik Umno Perlis.
"Beliaulah orang yang bertanggungjawab mengetepikan amalan dan sistem dalam parti sehinggakan pemimpin kanan Umno bahagian dan badan perhubungan Perlis disingkirkan daripada menjadi calon dalam pilihanraya umum lalu," katanya.

