Timbalan: Husam ambil risiko...

       

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa bakal berdepan risiko paling besar berbanding calon lain jika tidak dipilih sebagai timbalan presiden dalam pemilihan parti itu Jumaat ini.

Pada hari itu, lebih 1,000 perwakilan PAS kawasan juga akan menentukan nasib Nasharudin Mat Isa - yang sudah dua penggal menyandang jawatan tersebut.

kuala terengganu by election 160109 husam musa Seorang lagi naib presiden PAS, Mohamad Sabu turut menawarkan diri, tetapi beliau dilihat sebagai calon 'underdog' kerana tidak mempunyai jaringan dalaman parti sehebat Nasharudin dan Husam.

Kedudukan Nasharudin sehingga kini dilihat selesa apabila dikatakan mendapat sokongan padu kumpulan pro-muqabalah yang cenderung kepada presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Manakala Husam pula dilihat sebagai tokoh utama "kumpulan Erdogan" yang cenderung kepada idea mengukuhkan Pakatan Rakyat.

Analisis sumber-sumber dalaman parti menjangkakan, Husam bakal "paling teruk tercedera" jika kalah di tangan Nasharudin dalam muktamar PAS ke-55 kali ini.

Menurut mereka, tindakan Husam yang mengeluarkan kenyataan berunsur serangan terhadap Nasharudin akan memburukkan lagi hubungan kedua-dua tokoh PAS itu.

"Tambahan lagi, beliau dilihat tidak mendapat sokongan padu di Kelantan sendiri," kata sumber-sumber itu.

"Bagi Mohamad Sabu pula, keadaannya berbeza. (Pemilihan) ini bukan ujian paling besar untuk beliau (jika kalah). Dulu, masa menghadapi tuduhan khalwat pun beliau boleh buat 'comeback'. Inikan pula pemilihan parti," kata mereka.

'Suara merdu' Mat Sabu

Husam sebelum ini dilaporkan "berbuka puasa" daripada mengeluarkan kenyataan kepada media, dengan mengkritik Nasharudin secara terbuka dengan menyifatkannya sebagai "liberal dan terbuka kepada Umno".

Sumber-sumber berpendapat, berbekalkan "suara merdu", Mohamad Sabu sebagai penceramah popular, hampir pasti diundang menganggotai organisasi penting parti sebagai ahli jawatankuasa PAS pusat.

Sebaliknya, sumber-sumber meramalkan, ekoran "kenyataan berunsur serangan" sebelum ini, Husam telah mengeruhkan hubungannya dengan Nasharuddin yang dikatakan mendapat restu presiden.

Mengulas penyertaan Mohamad, sumber berkata naib presiden PAS itu sendiri tidak sepenuhnya yakin apabila memutuskan mengambil bahagian dalam perebutan tiga penjuru kerusi nombor dua parti itu.

"Beliau (bertanding) cuma ingin menyampaikan tanda protes dan tidak puas hati kepada Nasharudin. Beliau ingin isyarat ini sampai kepada perwakilan dalam muktamar parti," kata sumber-sumber itu lagi.

Mohamad Sabu kini menunggu pengalihan undi di saat akhir daripada perwakilan, tambah mereka.

Sementara penulis politik Zin Mahmud - yang pernah berkhidmat dengan akhbar rasmi PAS, Harakah - berpendapat, jika Husam tewas, ia bukanlah jalan mati dalam karier politik ahli parlimen Kubang Kerian itu.

"Kalau kalah pun, beliau tidak akan bermula dari bawah, tetapi dari tengah," kata Zin yang kini bertugas dengan sebuah akhbar arus perdana.

Beliau berkata, Husam dipercayai mendapat sokongan dari pelbagai

tempat dan tidak berpusat di sesebuah negeri seperti Kelantan.

Sokonga akar umbi

Katanya, populariti Husam sebagai alternatif terbaik kepada Nasharudin di kalangan akar umbi PAS setakat ini telah mencecah 45 peratus.

"Nasharudin pula kira-kira 35 peratus dan Mohamad 20 peratus (sokongan)," katanya sambil mengingatkan, ADUN Salor itu perlu

menghadapi risiko "pecah undi" dengan Mohamad Sabu.

Sementara penolong pengarah Penyelidikan untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa), Wan Hamidi Hamid pula menyifatkan "yang kalah tidak kalah semua" .

"Apa pun, presiden (PAS) tetap Abdul Hadi. Sejak dulu lagi beliau dilihat boleh mendengar pandangan dua-dua pihak. Keterbukaannya untuk mendengar itu ada.

"Ini agak seimbang (kepada semua pihak). Jadi, calon yang kalah, tidak akan terhapus nyawa," kata beliau yang juga seorang kolumnis politik.

"Akar umbi Pakatan di bawah jelas memilih Husam. Cuma konservatif masih mengawal. Kalau menurut disiplin dalam hirarki parti, susah untuk Husam menang.

"Dalam PAS ini, mereka akan setia kepada pemimpin di atas. Kita masih tidak tahu sejauhmana pengaruh konservatif dalam PAS," kata Wan Hamidi.

Ditanya sama ada gelombang Husam tidak cukup kuat untuk mengalah Nasharuddin, Wan Hamidi berkata: "Bukan, tradisinya kuat. Tradisi kepimpinan harus ditaati itu kuat (dalam PAS).

Malaysiakini
terkini untuk anda