[#1]Bahagian 1[/#] Bagaimanapun, dengan pengaruh Amerika Syarikat (AS) dan Britain dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Libya dipersalahkan dan dikenakan sekatan ekonomi apabila Libya (dengan sah) enggan menyerahkan dua rakyatnya.

Selepas tujuh tahun sekatan dikenakan, Libya yang sangat tertekan, akhirnya telah bersetuju pada 1998 menyerahkan rakyatnya itu untuk diadili di Belanda di bawah undang-undang Scotland dengan tiga orang hakim.

Penyerahan ini berlaku selepas diberikan jaminan oleh AS dan Britain, melalui bekas presiden Afrika Selatan Nelson Mandela, bahawa sekatan itu akan 'dibatalkan,' bukan sekadar 'digantung.' Bagaimanapun selepas penyerahan, Mandela menyatakan AS dan Britain berbohong kepadanya kerana sekatan itu sekadar digantung sahaja. Demikianlah tipu muslihat dua kuasa besar ini.

PanAm telah mengupah sebuah firma, Interfor, untuk menyiasat pengeboman itu bagi memindahkan kesalahan daripadanya. Interfor diketuai oleh Juval Aviv, seorang lagi bekas agen badan perisikan Israel, Mossad, yang berhijrah ke AS.

Menurut Interfor, orang yang dipertanggungjawabkan oleh Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin-Pasukan Am (PFLP-GC) untuk membawa bom ke dalam Pan Am103 adalah Khalid Jaafar. Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS juga berpendapat begitu. Beliau berasal daripada kumpulan pengedar dadah besar dari Lebanon, di Lembah Bekaa, yang dikuasai Syria. Khalid menyangka barang yang dibawanya itu dadah dari Lebanon untuk dijual di New York.

Di sini konspirasi bertambah kecamuk. Masuk pula peranan berbagai-bagai agensi perisikan AS. Menurut Lester Coleman yang pernah bekerja dengan Agensi Penguatkuasaan Antidadah (DEA) AS di Cyprus dalam bukunya yang ditulis bersama Donald Goddard, Trail of the Octopus (1993), antara tugas badan itu adalah menyelidik penyeludupan dadah dari Lebanon ke AS.

Agen Amerika seludup dadah

DEA juga bekerjasama dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA), yang menyelidik puak-puak militan di Lebanon. Antara tugas yang dijalankan oleh DEA dan CIA termasuklah membenarkan 'pengiriman terkawal' dadah dari Lebanon ke New York supaya mereka dapat menjerat pengedar di AS (itu kata merekalah!). Menurut Coleman lagi, Khalid merupakan seorang agen DEA dan CIA yang pernah membawa heroin ke Detroit dalam misi 'pengiriman terkawal' itu.

CIA, dengan kerjasama dengan BKA (satu cabang perisikan Jerman Barat), boleh melepasi pemeriksaan di Frankfurt dan terus memasukkan bagasi ke kapalterbang. Dua kemungkinan berlaku di sini. Beg Khalid Jaafar yang berisi heroin dimasukkan tanpa pemeriksaan dan kemudiannya digantikan oleh anggota PFLP-GC, yang mengetahui tentang misi 'pengiriman terkawal' DEA-CIA ini. Atau beg Khalid sudahpun digantikan PFLP-GC dengan yang berisi bom dan heroin dan beg itu kemudiannya dimasukkan tanpa pemeriksaan.

Suatu lagi agensi AS yang juga berkeliaran di Lebanon ialah Agensi Perisikan Pertahanan (DIA), iaitu perisikan tentera yang sangat rahsia. Mereka telah mengetahui tentang peranan DEA-CIA ini dan sangat marah. Laporan Interfor Juval Aviv menyebutkan Charles McKee, seorang berpangkat kapten dalam DIA, pulang ke New York untuk membuat laporan.

McKee menaiki PanAm 103 di Frankfurt. Turut bersama dalam penerbangan itu ialah Mathew Gannon, pembantu ketua stesen CIA di Beirut, seteru DIA. Gannon dan dua orang rakannya memulakan perjalanan dari Malta. Ramalan Interfor adalah: Gannon pulang untuk mempertahankan operasi DEA-CIA itu.

Mengikut laporan Interfor, dalam usaha membebaskan rakyat AS dan Britain yang ditahan Hizbullah, CIA telah bekerjasama dengan Mossad, yang berjaya menembusi Hizbullah. Pada masa yang sama, Israel juga menjual peluru berpandu kepada Iran.

Sebahagian keuntungan, hasil jualan dadah dan peluru berpandu, digunakan untuk menebus tahanan dalam kawalan Hizbullah dan juga membeli senjata serta bantuan lain bagi kumpulan pengganas Contra di Nicaragua - kumpulan kesayangan (bekas Presiden AS) Ronald Reagan dan Oliver North. Kes ini yang dihebahkan oleh laporan Yuval Aviv itu terkenal dengan nama skandal 'Irangate.'

Israel sabotaj Amerika

Charles McKee daripada DIA, selain menjumpai penglibatan DEA dan CIA dalam kes penyeludupan dadah turut membongkar peranan Mossad. Aviv, walaupun tidak secara terang-terangan, membuat spekulasi bahawa Mossad, dalam usahanya untuk menutup peranannya dalam isu Contra dan penyeludupan dadah, mungkin juga pihak yang memasukkan bom itu.

Suatu lagi ramalan: CIA sendiri, yang juga tidak mahu perkara itu dilaporkan oleh McKee, yang mengebom PanAm 103 dan sanggup menggadaikan nyawa tiga ahli mereka dalam penerbangan itu.

Mungkin ada orang terfikir tidak mungkin Mossad tergamak melakukan jenayah itu. Tetapi, menurut Gordon Thomas, penulis buku Gideon's Spies , mengenai Mossad, dan juga Richard Curtiss, bekas diplomat AS dan sekarang editor Washington Report on Middle East Affairs , menyatakan sebelum ini, pada 1983, Mossad sedar bahawa satu puak militan akan mengebom berek askar marin AS di Lebanon.

Maklumat ini tidak diberitahu kepada pihak AS kerana Israel mahu pasukan marin itu keluar dari Lebanon kerana menyukarkan kerja-kerja mereka. Seramai 241 orang kakitangan marin AS terbunuh dan jangkaan Mossad itu tepat - AS mengeluarkan askarnya. Mossad adalah perisikan yang nekad.

Dalam laporan badan penyiaran Britain BBC 5 Februari lepas, Robert Black, profesor perundangan daripada Universiti Edinburgh, Scotland, orang yang mengesyorkan format penghakiman di Belanda, menyatakan bahawa beliau 'sungguh terperanjat' apabila Megrahi didapati bersalah.

Menurut Black lagi, pendakwaan itu adalah kes yang 'sangat-sangat lemah' ( a very, very weak circumstantial case ) dan beliau tidak dapat mempercayai hakim Scotland "boleh menghukum sesiapa, walaupun orang Libya" menggunakan bukti sedemikian.

Menurut berita BBC itu lagi, pendapat ini malah disuarakan oleh ahli-ahli keluarga mangsa yang terlibat, 'UK Families Flight 103.' Mereka menuntut diadakan suruhanjaya awam untuk menyiasat apa sebenarnya telah berlaku. Mereka yang berpendapat begini termasuklah Dr Jim Swire, juga sebagai jurucakap keluarga mangsa rakyat Britain.

Keterangan Salinger ditolak

Daripada laporan The New York Times 2 Februari lalu, Michael P Scharf, seorang profesor di Kajian Undang-undang New England, yang telah mengikuti kes ini dengan terperinci, berkata, "nampaknya seakan-akan mereka (hakim) mencari apa saja cara untuk menyatakan mereka (dua rakyat Libya) bersalah, dan kita mesti menganggap bahawa dalam suasana politik itu, kes ini telah mempengaruhi mereka (hakim)."

Dalam laporan yang sama, Profesor John Grant, bekas pengarah 'Pasukan Lockerbie', fakulti undang-undang Universiti Glasgow berkata bahawa beliau "tidak berpendapat logik penghakiman itu bagus." Ia tidak "membawa secara jelas kepada kesimpulan bahawa Megrahi bersalah. Malah dengan mudah juga ia boleh membawa kepada kesimpulan bahawa Megrahi tidak bersalah." Grant juga berkata, para hakim terlalu cepat membuat kesimpulan bahawa bom itu dimuatkan di Malta, dan tidak di Frankfurt atau London.

Dalam laporan The Economist 1 Februari lalu, majalah konservatif Inggeris itu, dalam tajuk kecil yang berbunyi 'Keputusan yang tidak diduga', menyatakan "untuk beberapa lama, perbicaraan itu nampak memihak kepada Libya, kerana pendakwa terpaksa bekerja keras untuk mengukuhkan kes mereka Keputusan telah memeranjatkan ramai pemerhati. Dari awal lagi, pendakwa menghadapi masalah kerana tiada 'bukti kukuh' mahupun sebarang saksi bagi jenayah itu."

Antara banyak perkara pelik dalam kes ini, terdapat satu yang paling pelik. Menurut laporan The Guardian 21 November lalu, Pierre Salinger, bekas ketua wartawan wakil antarabangsa ABC News dan setiausaha akhbar kepada Presiden Kennedy, telah dipanggil sebagai saksi terakhir untuk memberikan keterangan bagi pihak pendakwa.

Bagaimanapun, di mahkamah, Salinger memberitahu (bertentangan dengan apa yang dihasratkan oleh pihak pendakwa) bahawa: "Saya tahu bahawa kedua-dua orang Libya ini tidak ada kaitan dengan kes ini. Saya tahu siapa yang melakukan dan saya tahu sebenarnya kenapa ia dilakukan."

Pada masa tuduhan terhadap dua orang Libya itu dibuat, Salinger ditempatkan di pejabat badan penyiaran ABC London, dan pernah menemuramah kedua-dua tertuduh. Pihak mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan Salinger meneruskan keterangan itu walau beliau membantah.

Nampaknya kekuatan itu kebenaran (might is right). Kes Lockerbie-PanAm 103 sekali lagi membuktikannya.


Dr ROSLI OMAR, seorang ahli akademik yang paranoid , terbayang konspirasi di mana-mana. Pada sebahagian kecil otaknya yang masih agak waras itu, beliau berminat tentang isu-isu keadilan, sama ada keadaan sosial setempat mahupun antarabangsa.