Seorang lagi pelajar Malaysia yang pulang dari Amerika Syarikat kelmarin disahkan menghidap jangkitan virus influenza A (H1N1), menjadikan enam kes semuanya sejak Mei lalu.

Daripada jumlah tersebut, dua kes melibatkan dua pelancong Jerman yang disahkan semalam.

Semalam, seorang pelajar Malaysia dari Amerika Syarikat yang pulang 1 Jun lalu diserang virus wabak yang sama dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurut laman web The Star , mangsa terbaru pulang 3 Jun dari New York melalui penerbangan MH091.

Pada 15 Mei, seorang pelajar lelaki dikesan dan dua hari kemudian temannya yang mengambil penerbangan yang sama juga dijangkiti virus tersebut.

Sementara itu, ketua pengarah kesihatan dilaporkan berkata 61 orang yang pernah berhubung dengan pesakit selesema A (H1N1) sedang dikuarantin di rumah masing-masing.

Tan Sri Dr Ismail Merican berkata 35 daripada mereka mengambil penerbangan sama dengan pelajar yang pulang 1 Jun, sementara selebihnya yang menaiki pesawat bersama dua pelancong asing tersebut.