BERITA

CPO: Kematian Gnanapragasam tiada unsur jenayah

Diterbitkan
Dikemaskini 16 Jun 2009, 4:06 pagi

Keputusan bedah siasat ke atas A.Gnanapragasam, suspek kes pecah rumah yang mati di sel lokap Balai Polis Damansara Damai semalam, disahkan bukan disebabkan perlakuan jenayah.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Bernama malam tadi mengesahkan bahawa punca kematian Gnanapragasam adalah "toxaemia secondary to spontaneous peritonitis" iaitu keracunan darah akibat jangkitan bakteria dalam usus.

Beliau berkata bedah siasat terhadap lelaki itu dijalankan tengah hari kelmarin oleh ahli patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Prashant Smberkar.

Gnanapragasam yang ditahan Rabu lalu ditemui mati pagi kelmarin dalam keadaan terbaring di tandas sel oleh seorang pengawal lokap yang sedang membuat rondaan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohammed berkata hasil bedah siasat tidak menemui sebarang kesan lebam mahupun kecederaan pada lelaki itu.

"Justeru kami mahukan kerjasama orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang tuduhan melulu tanpa usul periksa. Bagaimanapun siasatan lanjut (mengenai perkara ini) akan tetap dijalankan," katanya ketika ditemui Bernama di Subang Bestari, Subang malam tadi.

Katanya keputusan mengenai punca kematian Gnanapragasam dikeluarkan kira-kira jam 7.30 malam ini oleh PPUM.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.