Pemuda Gerakan Kedah merayu agar dikurangkan tempoh penggantungan keahlian naib presiden parti itu, Huan Cheng Guan.

Dalam satu kenyataan hari ini, pergerakan itu berkata, rayuan itu dibuat sebagai menghargai sumbangan Huan kepada partiselama ini.

huan cheng guan Sabtu lalu, parti itu mengumumkan penggantungan Huan kerana tindak tanduknya prejudis terhadap kepentingan parti serta secara terbuka mengecam parti dan kepimpinannya.

Huan juga dilaporkan telah mengisytiharkan untuk meletak jawatan dan mengancam untuk membawa penyokongnya meninggalkan Gerakan.

Dalam kenyataan tersebut, ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang berkata gesaan tersebut diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pergerakan itu semalam.

Beliau berkata, pihaknya merayu agar jawatankuasa kerja pusat (CWC) mengurangkan penggantungan Huan dari tiga tahun ke enam bulan.

"Atau apa-apa tempoh lain yang difikir suai oleh CWC berdasarkan sumbangan beliau ke atas parti," katanya.

Pergerakan itu juga, kata Tan, menyeru agar Huan menyelesaikan masalah dalaman parti menerusi saluran parti.

Beliau menyeru agar Huan tidak membuat kritikan terbuka ke atas kepimpinan parti melalui media.

Sebelum ini, Pemuda Gerakan Pulau Pinang juga menggesa Huan supaya menggunakan saluran parti untuk menyuarakan ketidakpuasan hatinya kerana digantung dari parti itu.

Ketuanya, Oh Tong Keong dilaporkan berkata, pihaknya bersimpati dengan Huan tetapi adalah "lebih baik beliau menyuarakan masalahnya dalam lingkungan parti."