Di manakah Nasharuddin?

   

Di manakah Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa berada? Itulah persoalan yang meniti di fikiran setiap orang di Manek Urai pagi ini.

parliament 2008 first day 280408 nasharuddin Nasharuddin tidak kelihatan walaupun pemimpin kanan PAS yang lain turun memberi sokongan kepada calon parti itu, Mohd Fauzi Abdullah, menyerahkan borang pencalonannya bagi pilihanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga mursyidul am PAS, mengetuai perarakan ke pusat penamaan calon di SMK Sultan Yahya Petra 1.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Nik Aziz berkata: "Saya tak tahu, tanya dialah, itu dia punya pasal".

Nik Aziz berulang kali berkata beliau tidak tahu mengapa timbalan presiden PAS itu tidak hadir pagi ini.

Beliau bagaimanapun menyentuh tentang cadangan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan yang disokong oleh Nasharuddin.

Menurutnya, cadangan itu sudah 'mati' dan PAS bersatu padu dalam Pakatan Rakyat. Naib Presiden PKR, Azmin Ali yang berada di sebelah Nik Aziz hanya tersenyum.

Cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno itu telah mencetuskan ketegangan dalam PAS apabila para pemimpinnya bercanggah pandangan mengenainya.

pas candidate and leaders manek urai by election nomination day 060709 26 Cadangan itu pada mulanya dibuat oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Awang Hadi dan disokong oleh Nasharuddin.

Bagaimanapun, pemimpin PAS termasuk Nik Aziz, membantah keras cadangan tersebut. Malah, beliau menggesa Nasharuddin keluar PAS jika beliau masih menyokong cadangan tersebut.

Akhirnya, mesyuarat kepimpinan tertinggi Pakatan memutuskan untuk menolak sebarang cadangan perbincangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai ketidak hadiran Nasharuddin pagi ini, Hadi sebaliknya pula bertanya: " Mengapa (Datuk Seri) Najib (Razak) tidak datang? Itu biasa sahaja".

Beliau juga menegaskan bahawa PAS komited dalam Pakatan,dan menambah isu mengenai kerajaan perpaduan tidak akan mendominasi kempen pilihanraya kecil Manek Urai.

"Hanya isu-isu tempatan yang penting di sini," katanya.

Sementara itu, Nik Aziz ketika ditanya mengenai hubungannya dengan Hadi, berkata: "Saya mursyidul am, dia presiden, hubungan lebih baik daripada biasa".

Malaysiakini
terkini untuk anda