Polis Indonesia tidak akan terpengaruh dengan kemunculan blog peribadi di internet yang mengaku bertanggungjawab terhadap letupan bom di dua buah hotel mewah 17 Julai lepas.

Insiden pagi Jumaat itu mengorbankan sembilan nyawa dan mencederakan lebih 50 yang lain.

Seorang jurucakap polis republik itu Sulistyo Ishak berkata maklumat dalam blog peribadi yang mendakwa bahawa ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap letupan itu masih disiasat polis, lapor Bernama .

Beliau berkata polis tetap berpegang pada siasatan secara ilmiah dengan bertindak ke atas semua pelaku, termasuk mengenal pasti pihak-pihak yang terlibat dalam pembuatan blog peribadi itu.

"Kami tidak terpengaruh dengan pengakuan yang belum pasti," katanya seperti dipetik agensi berita Antara di Jakarta semalam.

Dalam laman peribadi www.mediaislam-bushro-blogspot.com, pihak yang mengaku diri sebagai "Tandzim Al Qo'idah Indonesia" mendakwa letupan bom di dua hotel itu dilakukan oleh anggotanya.

Blog itu juga mengatakan bahawa sasaran letupan adalah orang asing di kedua-dua hotel itu, yang dilancar sebagai balasan ke atas apa yang dilakukan Amerika terhadap kaum muslimin di seluruh dunia.

Di samping itu, ia juga sebagai pengajaran buat umat Islam kerana membawa kelab bola sepak Manchester United ke hotel itu, lapora agensi berita itu lagi.

Ia turut mendakwa bahawa pemimpin mereka ialah Abu Mu'awwidz Nur Din Muhammad Top.