Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasatan DVD seks Soi Lek diteruskan
Diterbitkan:  Jul 31, 2009 6:24 PM
Dikemaskini: 12:22 PM

Jawatankuasa Disiplin MCA akan tetap meneruskan siasatan kes DVD seks Timbalan Presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek seperti dijadualkan Selasa depan.

chua soi lek Setiausaha jawatankuasa itu, Ivan Chen berkata pengerusi Ng Cheng Kiat telah mengarahkan siasatan itu diteruskan seperti dijadualkan pada 4 Ogos, tanpa keterangan daripada pengadu yang juga pengerusi MCA Bahagian Simpang Renggam Eng Cheng Guan.

"Pengerusi jawatankuasa disiplin amat tegas dengan perkara ini dan beliau tidak mungkin akan menukar fikiran. Satu-satunya perubahan ialah siasatan itu akan bermula 2.30 petang daripada 10.30 pagi ditetapkan sebelum ini.

"Dr Chua telah memaklumkan kepada jawatankuasa itu yang beliau akan membawa empat saksi ke siasatan itu," kata Chen kepada Bernama hari ini, lapor bernama.

Semalam, Eng menyatakan yang beliau telah menarik balik aduannya itu dan beliau tidak mahu meneruskan kes itu lagi.

Bagaimanapun, sumber parti menjelaskan keputusan untuk meneruskan siasatan itu adalah kerana aduan itu telah diterima oleh Majlis Presiden sebelum dirujuk kepada jawatankuasa, selepas ia memutuskan terdapat kes prima facie.

"Malahan jika Majlis Presiden mahu menarik balik kes itu, ia perlu dengan kebenaran JD (jawatankuasa disiplin). Itulah prosedurnya. Arif dengan ketegasan pengerusi baru JD, beliau kemungkinan besar tidak akan mengubah fikirannya.

"Beliau seorang yang amat tegas dan mempunyai prinsip tersendiri. Tiada siapa boleh mendesak beliau untuk berbuat sesuatu," kata sumber itu.

Teruskan siasatan

Menurut sumber itu, semasa jawatankuasa disiplin memutuskan untuk meneruskan penyiasatan terhadap 40 kes tertunggak yang ditangguhkan sebelum pemilihan parti pada Oktober tahun lepas, malahan presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat tidak dimaklumkan mengenai keputusan itu kerana jawatankuasa itu bertindak secara bebas.

Sumber itu berkata presiden parti hanya mengetahui mengenainya empat hari selepas notis dikeluarkan terhadap Dr Chua.

"Terdapat usaha dari dalam dan luar parti untuk mendesak pengerusi jawatankuasa untuk menggugurkan kes tersebut selepas itu tetapi beliau enggan berbuat demikian."

Sumber itu berkata Ng, yang merupakan seorang peguam dan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan bekas Menteri Kesihatan, dikenali dengan pendirian tegasnya di dalam dan di luar parti.

Ng malahan menguna pakai pendirian tegas ketika bersama-sama presiden parti ketika itu Tun Dr Ling Liong Sik semasa beliau menjadi setiausaha agung parti.

Beliau meletak jawatan sebagai setiausaha agung MCA pada Julai 1990 dan tidak bertanding dalam pilihan raya umum berikutnya. Sebaliknya beliau menyambung semula kerjaya sebagai peguam.

ADS