Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, setakat ini, hampir RM20 juta kerugian akibat demonstrasi anti-ISA Sabtu lalu telah ditaksir.

"Hari ini saya sudah berjumpa dengan 20 persatuan peniaga yang menghantar memorandum dan tuntutan. Saya rasa, sudah hampir RM20 juta sudah yang saya dapat.

"Tetapi ramalan saya itu kerugian keseluruhannya, termasuk kehilangan pendapatan pada masa akan datang apabila pelancong tidak datang, khususnya di Kuala Lumpur.

"Pelabur asing pun enggan datang," katanya.

Beliau diminta menjelaskan jumlah sebenar kerugian peniaga akibat demonstrasi anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) didakwanya membawa kerugian RM100 juta hingga RM200 juta.

Senator itu juga berkata, kerajaan tidak akan memberikan bantuan kewangan kerana kerugian tersebut tidak berpunca daripada mereka.

"Pada masa ini, saya rasa (kerajaan) tidak patut terlibat. Ini bukan kesilapan pihak kerajaan, tetapi (kesilapan) mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Kita boleh jadi pemudahcara sahaja. Kita tidak mampu hendak buat ini. (Jika tidak) esok, ada demonstrasi lain, orang lain pula buat tuntutan.

"Bukan kita yang buat demonstrasi," katanya selepas merasmikan seminar kecemerlangan pelajar SPM di Kerinchi, Kuala Lumpur petang ini.

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku kerosakan sampingan akibat tindakan polis, Raja Nong Chik berkata: "Yang saya nampak, tidak besar, kalau ada pun. Ia lebih kehilangan pendapatan."

Beliau juga berkata, Umno tidak terlibat dengan usaha sayap Pemudanya di Wilayah Persekutuan yang menawarkan khidmat guaman terhadap sekumpulan peniaga yang ingin menyaman GMI semalam.

"Tidak ada. Saya tidak terlibat dengan usaha Pemuda Wilayah. Itu mereka dengan baik hati hendak membantu," katanya, sambil menafikan Umno menjadi dalang memburukkan GMI.

Beliau berkata, kerajaan mesti konsisten menolak sebarang demonstrasi, walaupun melibatkan isu selain ISA dan melibatkan anggota Umno sendiri.

"Kalau boleh, elakkanlah demonstrasi. Perdana menteri pun kata, adakan di tempat tertutup macam di stadium," katanya, mengulas cadangan demonstrasi bersama Pemuda PAS-Umno di Shah Alam esok.

Pemuda Umno hari ini dilaporkan berhasrat menyertai demonstrasi PAS bagi mendesak pemimpin DAP Ronnie Liu dilucutkan daripada exco kerajaan tempatan Selangor susulan dakwaan beliau campur tangan isu mengawal arak.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini