Petikan wawancara Malaysiakini bersama tokoh sasterawan Datuk Dr Anwar Ridhwan di pejabatnya di Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Selasa lalu.

Apa Datuk hendak buat selepas ini, yang mungkin tidak dapat buat sebelum ini? Apa rancangan lanjut bila sudah dapat anugerah sasterawan negara?

Ada satu keinginan saya yang sudah lama terpendam, iaitu seakan menyambung Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Sejarah Melayu itu bermula dengan pembukaan Melaka dan berakhir dengan kekalahan Melaka, berakhir sekitar awal abad ke-17.

Jadi saya ingin menyambungnya dalam lima jilid, iaitu fasa yang dihadapi oleh orang Melayu sebagai bumiputera di Semenanjung ini. Kemudian tentang bumiputera di Sabah dan Sarawak juga.

(Tentang) bagaimana mereka berkembang menghadapi cabaran ekonomi, sosial, politik, pendidikan, kemudian bersemuka dengan masyarakat lain.

Memang (dengan) masyarakat Cina dan India, tetapi kebelakangan ini, kita harus bersemuka dengan masyarakat dunia - bagaimana orang Melayu menyesuaikan diri dan bersedia menghadapi (cabaran). Itu yang menjadi impian saya.

Datuk ingin menyambung Sejarah Melayu yang dimulakan Tun Sri Lanang itu?

Saya ingin, saya ingin menyambung begitu.

NONE Dalam bentuk bagaimana?

Dalam bentuk moden, tetapi perspektif saya tidak lagi daripada perspektif istana atau raja, tetapi daripada perspektif rakyat.

Bagi saya, sesuatu polisi yang ditentukan kerajaan, sesuatu dasar yang ditentukan pemerintah, kesannya yang besar kepada rakyat.

Pemerintah itu duduk di puncak dan jumlahnya kecil. Tetapi sesuatu dasar itu melibatkan yang di bawah (rakyat terbanyak). Jadi, saya ingin melihat daripada perspektif rakyat.

Jadi hendak bermula bila, selepas merdeka atau bagaimana?

Saya akan mulakan dari awal abad ke-17, sampai ke masa sekarang.

Projek itu sudah bermula?

Saya belum mula lagi kerana saya perlukan satu suasana untuk mengarang yang lebih selesa.

Buku itu dalam bentuk fiksyen?

Dalam bentuk fiksyen.

Ia akan jadi macam (novel) Naratif Ogonshoto di akhirnya?

Kemungkinan juga, kerana saya juga ingin mencari pendekatan menulis yang menarik, bukan sebuah novel sejarah seperti dalam tafsiran atau konteks yang lama.

Ia masih berasaskan sejarah, tetapi daripada bentuk, pendekatan dan pengolahan, ia mestilah sesuatu yang segar. Dengan cara itu boleh menarik minat orang membaca.

Kenapa Sejarah Melayu ? Kita ada Merong Mahawangsa , Hikayat Hang Tuah dan pelbagai hikayat lagi? Kenapa pilih Sejarah Melayu untuk disambung?

Kerana sebuah fiksyen, sebuah naratif bangsa ini, sesuatu yang penting - yang hebat ia boleh berkekalan.

Kalau Hang Tuah kata, "tak Melayu hilang di dunia", jadi persoalan tentang Melayu itu akan hidup sepanjang zaman.

Jadi, kalau saya dapat melihat tema ini, tema bagaimana Melayu menghadapi cabaran, mengharungi pancaroba, saya kira ini akan menjadi cerminan atau juga barangkali pandangan atau pegangan bagaimana masyarakat Melayu menghadapi hari-hari muka.

Maksudnya, ia akan menjadi projek pertama Datuk selepas mendapat sasterawan negara?

Saya harap begitulah.

Apakah ceritanya tentang Melayu semata-mata? Sekarang selepas merdeka, kita ada pelbagai kaum, masyarakat majmuk?

Asasnya memang Melayu. Harus difahami, bumi ini asalnya Persekutuan Tanah Melayu. Tetapi saya juga menyedari realiti tentang peranan penjajahan dan juga perdagangan yang membawa masyarakat Cina dan India terutamanya ke Semenanjung Tanah Melayu.

Jadi, dalam naratif yang akan saya tulis ini, akan mengambil kira faktor-faktor ini; juga faktor Kadazan, Dusun di Sabah dan Sarawak.

Dan mereka ini juga akan bersemuka dengan orang dari Semenanjung, dengan Cina, India dan bangsa-bangsa yang lain.

Itu akan menjadi novel yang dipenuhi watak-watak antarabangsa.

Bahagian I: Anwar: Jangan tinggalkan PAS, Azizi

Bahagian II: Projek besar hikayat Melayu dari perspektif rakyat