Palanivel, Subra yakin menang no. 2 MIC
Timbalan presiden MIC Datuk G Palanivel dan bekas timbalan presiden Datuk S Subramaniam yakin menang dalam pertandingan jawatan nombor dua parti itu pada pemilihan parti bulan depan.
Palanivel, 60, yang karier politiknya agak menurun berikutan kekalahan pada pilihan raya umum lepas di kawasan kubu kuat BN di Hulu Selangor, menyifatkan peluangnya "sangat cerah".
"Dengan sokongan penuh Datuk Seri (presiden parti Datuk Seri S Samy Vellu), saya rasa peluang saya amat cerah (untuk menang) pada pemilihan ini... (sokongan) Samy Vellu adalah kelebihan kepada saya," katanya kepada pemberita selepas pencalonan ditutup di ibu pejabat parti hari ini.
Mengenai persepsi di kalangan anggota parti dan masyarakat India
keseluruhannya bahawa beliau tidak layak untuk memimpin parti dan masyarakat India memandangkan terlalu bergantung kepada sokongan Samy Vellu untuk melangkah dalam karier politiknya, Palanivel berkata:
"Terdapat sokongan kuat daripada kalangan parti dan dari luar. Ramai yang sokong saya dan saya juga tidak mempunyai musuh atau masalah. Jika saya menang (timbalan presiden), saya akan meneruskan kerja saya seperti sebelumnya."
Subramaniam, 64, yang memegang jawatan nombor dua parti sejak 1981 sehingga tewas kepada calon sokongan presiden, Palanivel pada pemilihan parti 2006, berkata keyakinannya untuk menang berdasarkan maklum balas yang dikumpul daripada perwakilan dan anggota parti.
"Saya pasti yang saya mendapat sokongan kuat dari semua peringkat parti kerana saya mempunyai lebih pengalaman. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan semua dan senang untuk bekerja," katanya.
Subramaniam, yang berkhidmat sebagai timbalan menteri di pelbagai
kementerian dalam tempoh 33 tahun karier politiknya dan kini mengetuai bahagian MIC Seputeh, berkata anggota parti dan masyarakat India memerlukan seorang pemimpin yang boleh membawa perubahan, mengembalikan kepercayaan masyarakat
India dan membuat parti bertambah kuat dan bersatu.
"Sebagai pemimpin yang dah lama, saya pasti saya boleh menjalankan tugas saya lebih baik daripada orang lain," katanya, yang kelihatan ceria apabila mendapat tepukan gemuruh daripada penyokongnya ketika pengumuman kertas pengundiannya ialah nombor satu.
Sementara itu, calon paling muda Datuk S Sothinathan, 49, ketika ditanya mengenai tidak menjadi calon Samy Vellu untuk jawatan nombor dua, berkata: "restu seumpama itu tidak penting".
Calon tunggal wanita untuk jawatan naib presiden P Mariayee, 60, berkata beliau aktif dalam parti sejak berusia 19 tahun, dan telah berkhidmat untuk masyarakat India dalam pelbagai jawatan dalam parti dan kerajaan.
"Saya telah membantu ramai wanita yang mempunyai masalah di seluruh negara. Saya boleh memberikan sumbangan yang lebih baik, jika diberi peluang," katanya.
Anak Samy Vellu, Vel Pari berkata beliau tidak bertanding untuk jawatan naib presiden sebagaimana yang dijangka ramai, kerana mahu menyelesaikan isu Maika Holdings terlebih dahulu.
"Saya perlu selesaikan isu Maika dahulu. Selepas itu, saya akan putuskan. Mungkin (dalam) pemilihan akan datang," katanya.
Sementara itu, pengerusi jawatankuasa pemilihan Datuk P Vijayanathan mengumumkan senarai penuh calon di atas pentas di tempat letak kereta ibu pejabat MIC. BERNAMA

