BERITA

Hari penentuan di Permatang Pasir

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Ogs 2009, 4:20 pagi

Proses pengundian bagi pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir bermula dengan 39 saluran di sembilan pusat mengundi dibuka di lapan pusat pengundian mulai jam 8 pagi ini.

Calon PAS, Mohd Salleh Man akan mempertahankan kerusi DUN tersebut ekoran kematian penyandangnya dari parti tersebut, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, kerana sakit jantung pada 31 Ogos lalu.

Beliau berdepan dengan calon BN, Rohaizat Othman. Seramai 20,290 pemilih berdaftar layak mengundi hari ini untuk memilih wakil rakyat yang baru mereka.

Mereka terdiri daripada 72.36 peratus adalah pengundi Melayu, 25.85 peratus Cina, 1.63 peratus India dan 0.16 peratus lain-lain keturunan.

Mohd Salleh, 52, merupakan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang manakala Rohaizat, 38, adalah setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh.

Bagaimanapun, kedua-dua calon itu tidak mengundi di kawasan Permatang Pasir.

Lapan pusat mengundi itu dibuka di SJKC Lay Keow Permatang Pauh, SMK Sama Gagah, SK Permatang Pauh, SK Permatang Pasir, SK Bukit Indra Muda, SJKC Kubang Semang, SK Seri Penanti dan Sek Rendah Islam Al-Masriyah.

Manakala Jabatan Kajicuaca meramalkan hujan di satu dua tempat pada sebelah pagi dan hujan di beberapa tempat petang ini.

Anwar terawal mengundi

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail adalah antara yang terawal keluar mengundi pagi ini.

Anwar, Wan Azizah dan Mohd Salleh tiba di pusat mengundi SK Seri Penanti pada kira-kira jam 8.20 pagi untuk mengundi.

Bercakap kepada pemberita, Anwar berkata beliau yakin Mohd Salleh akan menang dengan majoriti selesa.

Beliau juga puashati dengan jentera pilihanraya Pakatan Rakyat yang menurutnya telah bekerja kuat untuk memastikan akan kemenangan Mohd Salleh.

Anwar juga berkata, petugas Pakatan juga diminta supaya mengesan sekiranya ada pengundi hantu.

Menurutnya, petugas parti itu akan memantau kenderaan dan bas bagi mengesan pengundi hantu.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan