Kes seks: MCA pecat Dr Chua

   

kemaskini 12.12pm Majlis Presiden MCA lewat malam ini memecat Timbalan Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhubung skandal seks yang dihadapi bekas menteri itu awal tahun lalu.

Keputusan itu dicapai setelah ia bermesyuarat selama beberapa jam sejak 9 malam ini susulan syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa disiplin yang menyiasat kes itu awal bulan ini.

Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata beliau sendiri akan memaklumkan keputusan yang dibuat "dengan berat hati" dan "kolektif" itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, selaku pengerusi BN.

Dalam sidang media di Wisma MCA kira-kira tiga jam sebelum keputusan itu dicapai, Dr Chua memaklumkan beliau dikehendaki keluar mesyuarat majlis tersebut kerana ia ingin memutuskan tindakan terhadapnya.

Beliau sebelum itu hadir lebih kurang dua jam di mesyuarat Majlis Presiden MCA.

Tokoh yang dianggap pencabar utama Ong, Dr Chua menambah, laporan jawatankuasa disiplin yang dihantar kepadanya jam 5.30 petang ini mendedahkan syor memecat beliau.

Kata Dr Chua lagi, Majlis Presiden selalunya sekadar "cop getah" untuk meluluskan syor yang dibuat oleh jawatankuasa disiplin.

Beliau berharap "Ong akan tidur lena malam ini" selepas pemecatannya.

Katanya, sejak pemilihan parti Oktober tahun lalu - yang menyaksikan kenaikan kembali Dr Chua kepada jawatannya sekarang - Ong "melihatnya sebagai musuh ketat dan ancaman paling besar."

Awal bulan ini, jawatankuasa itu menyiasat aduan bahawa Dr Chua telah mencemarkan imej parti selepas muncul dalam satu DVD yang menunjukkan beliau adakan hubungan seks dengan seorang wanita.

Pengadu tersebut Eng Cheng Guan, yang juga pengerusi MCA bahagian Simpang Renggam, mendakwa insiden itu mencemarkan reputasi parti kedua terbesar dalam komponen BN itu.

Eng bagaimanapun menarik balik aduannya tetapi jawatankuasa disiplin meneruskan siasatan terhadap Dr Chua.

Mesyuarat malam ini difahamkan diadakan secara tergesa-gesa, manakala akhbar Sin Chew Daily melaporkan Dr Chua hanya dimaklumkan mengenainya pada kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Penghujung 2007, DVD yang dirakam secara rahsia yang menunjukkan babak-babak seks Dr Chua dengan teman wanitanya diedarkan di beberapa tempat di Johor.

Susulan itu, awal 2008, Dr Chua mengejutkan negara dengan mengaku berterus terang bahawa beliaulah lelaki dalam DVD itu dan mengumumkan peletakan semua jawatan dalam kerajaan dan parti.

Baca berita penuh

Malaysiakini
terkini untuk anda