MAS: Tengku Azmil ganti Idris Jala
Lembaga Pengarah MAS mengumumkan pelantikan Tengku Datuk Azmil Zahruddin menggantikan Datuk Idris Jala sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat penerbangan nasional itu, berkuatkuasa hari ini.
Beliau menggantikan Idris yang telah dilantik sebagai menteri di jabatan perdana menteri dan ketua pegawai eksekutif Unit Penyampaian dan Prestasi pengurusan (PEMANDU).
Azmil merupakan pengarah eksekutif dan ketua pegawai kewangan MAS yang menyertai MAS pada 2005 daripada Penerbangan Malaysia Berhad. Sebelum itu, beliau berkhidmat dengan PricewaterhouseCoopers di London dan Hong Kong, demikian menurut kenyataan MAS hari ini.
Pengerusi MAS, Tan Sri Dr Munir Majid berkata, sejak empat tahun lalu, Tengku Azmil dan Idris telah bekerjasama rapat untuk membawa syarikat penerabangan itu keluar daripada krisis kewangan dan menyediakan wawasan untuk menjadikan MAS syarikat penerbangan lima bintang dunia.
"Kita gembira kerana Tengku Datuk Azmil telah bersetuju untuk menerajui syarikat ini. Beliau mendapat sokongan penuh kami dan 19,000 kakitangan kami. Bersama-sama, kita akan terus membina asas yang kukuh dan mencapai apa yang dianggap mustahil," katanya.
Munir menambah, Idris pula merupakan CEO yang menakjubkan di mana visi dan penekanannya, semangat dan usaha tanpa jemunya, serta prinsip-prinsip perubahan yang dibawanya, telah berjaya mengubah MAS.
Sementara itu, Azmil pula berkata, beliau banyak belajar ketika bekerja bersama Idris dalam membawa perubahan yang menakjubkan di MAS.
"Tahun-tahun mendatang ini amat mencabar dan kami perlu terus mengukuhkan momentum yang sudah sedia ada itu," katanya.
Manakala Idris pula berkata beliau terhutang budi kepada lembaga pengarah MAS, pihak pengurusan dan kakitangan syarikat penerbangan itu yang memberi sokongan kepadanya selama ini.
Sambil menyifatkan sebagai satu penghormatan berkhidmat dengan MAS, Idris memuji kesungguhan kakitangan syarikat itu berdepan dengan tugas berat dan bersama-sama berjaya mencapai apa yang pada mulanya dianggap mustahil.
"Azmil dan saya sentiasa bersama dalam menghadapi apa juga keadaan. Beliaulah orang yang paling layak untuk memikul tugas tersebut, dan saya yakin beliau akan membawa MAS ke puncak yang lebih tinggi," katanya.
Idris juga menyifatkan pelantikannya sebagai menteri, sebagai satu babak baru dalam hidupnya.
Idris berharap dapat memanfaatkan sepenuhnya pengalamannya untuk membawa perubahan dalam perkhidmatan awam pula.

