ADUN BN T'ganu setia pada Umno
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menolak sebarang kemungkinan beberapa pemimpin Umno akan meninggalkan parti itu kerana mereka ini setia kepada parti.
"Bukan saja pemimpin tetapi penyokong-penyokong Umno di Terengganu setia kepada parti," katanya kepada pemberita di Putrajaya bagi mengulas ura-ura kononnya beberapa ADUN Terengganu akan menyertai PKR.
Muhyiddin, yang juga timbalan presiden Umno, berkata beliau akan melawat Terengganu hari ini dan akan menemui pemimpin dan anggota Umno di negeri itu.
Katanya, ada pihak akan cuba mempengaruhi sesetengah pemimpin Umno untuk meninggalkan parti itu tetapi beliau yakin mereka tidak akan berbuat demikian kerana mereka ini cukup berpengalaman.
Muhyiddin juga berkata beliau berharap keadaan di Terengganu akan menjadi lebih baik di bawah kepimpinan Datuk Seri Hishammuddin Hussein selaku pengerusi badan perhubungan Umno Terengganu.
"Saya harap bulan puasa ini akan menjadi titik permulaan bagi kita untuk terus bersatu," katanya.

