S'gor digesa kaji semula dasar air percuma

   

Dasar kerajaan Selangor membekal air percuma kepada rakyat perlu dikaji semula oleh kerana ia tidak memanfaat kumpulan sasaran, menurut Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Jurucakap kementerian itu memberitahu Bernama hari ini bahawa bekalan 20 meter padu air percuma setiap bulan tidak sampai kepada rakyat miskin di rumah pangsa kos rendah dan kawasan setinggan.

Air itu dibekalkan lebih kepada mereka yang paling kurang memerlukan terutama di kawasan kediaman mewah dan premis komersial.

Jurucakap itu berkata Selangor membayar RM12 juta sebulan kepada pemegang konsesi air, Syabas bagi bekalan itu.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) berkata kerajaan sebaliknya perlu melaksanakan sistem yang digunapakai oleh Perak dan Negeri Sembilan di mana hanya mereka yang memerlukan diberikan keistimewaan ini.

Mereka yang memerlukan bekalan air percuma hendaklah memohon secara formal kepada pihak berkuasa, kata setiausaha agungnya S. Piarapakaran.

Beliau berkata penjimatan dari subsidi air boleh digunakan untuk program lebih mendesak seperti menambah baik pengangkutan awam dan sistem lalulintas di negeri ini. BERNAMA

Malaysiakini
terkini untuk anda