Kira-kira 2,500 bungkus "Bubur Lambuk 1Malaysia" diagihkan kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa di Jabatan Penyiaran Melaka di Melaka hari ini.

Bubur istimewa itu dimasak dalam 25 periuk besar secara gotong-royong oleh penjawat awam dari jabatan dan agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan di Melaka.

Jabatan dan agensi terlibat ialah Jabatan Penerangan, Jabatan Penyiaran, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Muzium Malaysia wilayah Selatan, Jabatan Warisan Negara, dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Agensi lain ialah Arkib Negara Malaysia, Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Turut menjayakan program bersepadu melalui Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Melaka itu ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Pusat Zakat Melaka, beberapa orang wakil rakyat dan syarikat swasta.

Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob hadir mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai yang mula membanjiri kawasan Dataran Mega Jabatan Penyiaran Melaka mulai pukul 3.30 petang.

Pengarah Jabatan Penerangan Melaka Hamdan Hasnan berkata program yang memasuki tahun keempat itu bertujuan mendekatkan lagi jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan kepada orang ramai.

Beliau berkata program itu juga bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan kakitangan jabatan dan agensi terbabit.

"Kami bersama-sama membuat persiapan, memasak dan membungkus juadah dalam suasana kekeluargaan dan semangat bergotong royong," katanya.

Beliau berkata program tersebut dijadikan acara tahunan sejak bulan Ramadan 2006 berikutan sambutan menggalakkan daripada kakitangan dan orang ramai. BERNAMA