Seramai 1,469 perwakilan MIC mengundi hari ini pemilihan pucuk pimpinan parti itu yang dianggap paling panas dan menarik perhatian semua pihak.

Proses pengundian tersebut bermula kira-kira jam 1 tengahari dan berakhir jam 4 petang tadi untuk memilih timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC).

Setiausaha Agung MIC, K Vijayanathan berkata, 54 tempat mengundi disediakan, membabitkan 28 kotak undi.

Vijayanathan yang juga pengerusi jawatankuasa pemilihan MIC berkata, telefon bimbit tidak dibenarkan sewaktu proses pengundian berjalan.

Beliau mengingatkan perwakilan supaya mengundi 23 daripada 63 calon bagi CWC, seorang daripada tiga calon timbalan presiden dan tiga daripada tujuh calon naib presiden.

Penyandang jawatan timbalan presiden Datuk G Palanivel mempertahankan jawatannya dan berdepan dengan bekas timbalan presiden Datuk S Subramaniam dan naib presiden Datuk S Sothinathan.

Datuk Seri S Samy Vellu mengekalkan jawatan presiden MIC tanpa bertanding bagi penggal ke-11 berturut-turut, sehingga 2012.

Keputusan pemilihan dijangka diumumkan pada jam 6 petang ini.

Pemenang jawatan CWC akan diumumkan terlebih dahulu, diikuti pemenang jawatan naib presiden dan timbalan presiden.

Pagi ini, mesyuarat agung MIC dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan diikuti dengan ucapan dasar oleh presiden MIC.

Vijayanathan juga turut membentangkan laporan akaun dan laporan setiauasaha agung.