Dewan Pemuda PAS pusat (DPPP) menolak kenyataan Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali semalam bahawa perbincangan wacana Ilmiah terbuka terbuka antara kedua-dua pihak, telah terhenti kerana DPPP tidak menjawab surat ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin.

Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha DPPP, Kamaruzaman Mohamad menyifatkan kenyataan itu sebagai "tidak tepat dan tidak berasas".

Sebaliknya, kata beliau, DPPP - dalam surat bertarikh 29 Julai lalu kepada Khairy - telah memaklumkan mengenai penubuhan jawatankuasa teknikal di pihak Dewan Pemuda PAS.

Kamaruzaman berkata, beliau merupakan pengarah jawatankuasa teknikal itu dengan dibantu oleh dua orang exco DPPP.

"Dalam surat tersebut juga, DPPP mencadangkan Pemuda Umno menubuhkan juga jawatankuasa teknikal di mana pembentukan sekretariat jawatankuasa teknikal bersama adalah bagi membincangkan format, masa, tarikh, lokasi, moderator dan perkara-perkara berkaitan wacana," katanya.

Menurutnya, Khairy telah membalas surat tersebut dengan meminta agar pertemuan empat mata antara beliau dan ketua DPPP, Nasrudin Hassan diadakan sebelum ditubuhkan sekretariat jawatankkuasa teknikal antara kedua-dua parti.

Ekoran itu, katanya, Nasrudin telah memaklumkan kandungan surat Khairy melalui media dan menegaskan bahawa "tidak akan ada pertemuan empat mata antara beliau dengan Khairy".

Sebaliknya, kata beliau, Nasrudin telah menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan ketua Pemuda Umno itu dalam wacana yang telah dipersetujui di peringkat awal lagi.

Menurutnya, seandainya Khairy ikhlas untuk bertemu dengan Nasruddin, mengapa ketua Pemuda Umno itu tidak hadir ketika ketua DPPP itu hadir di Parlimen untuk menyerahkan surat jemputan wacana tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau, hanya mewakilkannya kepada naib ketua Pemuda Umno sahaja.

"Ketua Pemuda PAS juga telah menegaskan bahawa wacana tersebut akan diteruskan dengan tajuk 'Wacana Ilmiah Terbuka: Apakah perjuangan Umno bertentangan dengan Islam' yang telah dipersetuju sebelum ini," katanya