Tiada kematian akibat influenza A (H1N1) dilaporkan semalam manakala 96 kes dengan gejala seperti penyakit influenza (ILI) dimasukkan ke hospital, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Menurut beliau, 65 kes telah dikeluarkan dan daripada jumlah ILI yang sedang dirawat, hanya 177 pesakit atau satu pertiga merupakan kes H1N1 yang disahkan dan 26 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ini menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 80 buah hospital termasuk sembilan hospital swasta di seluruh negara berjumlah 618 kes, kata beliau.

"Tiada kematian H1N1 didaftarkan dan jumlah terkumpul adalah kekal pada 77 kematian," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Seramai 24 orang atau 92 peratus kes H1N1 yang sedang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko antaranya sembilan kanak-kanak bawah lima tahun, lima penyakit kronik, enam obesiti, tiga penyakit respiratori kronik dan dua hamil.

Di peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan setakat Jumaat lepas, lebih 296,471 kes H1N1 dilaporkan di seluruh dunia dengan sekurang-kurangnya 3,486 kematian. BERNAMA