Murid kena mercun, mata kabur
Seorang pelajar Wan Shahrul Fikri Mazuki cedera parah pada bahagian tangan kanannya apabila sebutir mercun bola meletup dalam genggamannya dalam kejadian di Kampung Katong, Pauh dekat Kangar semalam.
Pelajar darjah tiga Sekolah Kebangsaan Jelempok itu kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah akibat kecedaraan itu, manakala kedua-dua belah matanya kabur.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 petang semalam ketika pelajar berusia 9 tahun itu sedang bermain mercun bersama rakan-rakannya.
Kakak mangsa Wan Norshiela Mazuki, 24, berkata, adiknya tidak sempat membaling mercun bola yang telah dinyalakan itu lalu meletup dalam genggamannya.
"Ketika kejadian, kami sekeluarga berada di dalam rumah sedang bersiap sedia untuk berbuka puasa enam.
"Selepas mendengar tangisan, kami bergegas keluar dan mendapati tangannya berlumuran darah," katanya hari ini. BERNAMA

