Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Undi pos cabuli hak perlembagaan'
Diterbitkan:  Sep 25, 2009 4:41 AM
Dikemaskini: Sep 26, 2009 7:25 AM

Angkatan Muda PKR menyifatkan halangan sesetengah pemilih pos membuang undi di tempat awam sebagai mencanggahi Perlembagaan Persekutuan dan menggesa ia dibahaskan secara serius.

Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tindakan memaksa anggota tentera atau pasangan mereka mengundi seperti pemilih lain mencabul Perkara 8 perlembagaan yang menyatakan setiap rakyat haruslah dilayan sama rata dan tanpa diskriminasi.

mafrel military postal vote casting 060308 police Isu ini wajar dikaji semula dengan jujur dan peraturan pilihan raya dipinda untuk mengelakkan anggota tentera, polis dan semua pengundi tidak hadir daripada "perasaan serba salah dan tidak bebas memilih", tambahnya.

"Keengganan untuk membuat pindaan-pindaan tersebut akan menyebabkan semua pihak terus mempunyai persepsi bahawa pihak pemerintah Umno-BN mempunyai agenda tersembunyi," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa sistem undi pos akan dikekalkan seperti diperuntukkan dalam undang-undang.

mafrel military postal vote casting 060308 vote Pemuda PAS minggu lalu menyerahkan memorandum kepada SPR bagi membolehkan calonnya pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan berkempen di kem-kem askar dan balai-balai polis.

Dengan sokongan Angkatan Muda PKR dan Pemuda DAP, ia juga turut membantah keras penggunaan Borang 2 – yang merekodkan maklumat peribadi pemilih pos dan nombor siri kertas undi.

Daripada 13,664 pemilih berdaftar di DUN tersebut yang layak membuang undi pada 11 Oktober ini, 4,604 terdiri daripada pemilih pos.

Dalam satu kenyataan hari ini, Shamsul Iskandar berkata kenyataan Wan Ahmad itu "mencerminkan kedangkalan pemahaman" mengenai peruntukan untuk pengundi tidak hadir dan matlamat asas pilihan raya.

azlan "Pilihanraya diadakan untuk membolehkan rakyat memilih dengan bebas, tanpa tekanan yang tidak sewajarnya bagi membentuk kerajaan rakyat. Kerahsiaan undi adalah satu faktor asasi dalam proses pemilihan ini," katanya.

"Tujuan diwujudkan peruntukan untuk pengundi tidak hadir adalah bagi membolehkan rakyat yang tidak bermastautin di dalam satu-satu bahagian pilihanraya menjalankan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pemilih."

Angkatan Muda PKR menyeru semua pihak menyertai "forum rakyat" bagi membincangkan secara khusus persoalan undi pos atau pengundi tidak hadir ini.

Forum ini penting bagi merungkai segala permasalahan dan kelemahan bagi memastikan setiap undi benar-benar bebas dan berkesan dalam menzahirkan kehendak sebenar rakyat, tambah Shamsul.

Sayap penting PKR itu bercadang mengambil inisiatif untuk menganjurkan forum tersebut dengan menjemput semua pihak yang terlibat, termasuk wakil SPR, parti-parti politik, wakil Angkatan Tentera Malaysia dan wakil polis.