mk-logo
Berita
Rumah pengerusi DAP S'wak dibaling bahan letupan
Diterbitkan:  Sep 27, 2009 6:34 AM
Dikemaskini: 6:42 AM

Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng dikejutkan dengan penemuan bahan letupan bunga api yang gagal meletup yang ditemui di perkarangan rumahnya kira-kira jam 7 pagi ini.

"Bahan yang ditemui itu mampu menghasilkan letupan yang kuat dan memekakkan telinga, malah lebih berbahaya daripada bom botol (molotov cocktail)," katanya kepada pemberita di rumahnya di Jalan Ipoh di Sibu.

Wong yang juga seorang peguam dan ADUN Bukit Assek berkata beliau telah membuat laporan polis mengenai perkara itu.

"Saya tidak pernah menyangka saya menjadi sasaran sebegini. Polis ada bertanyakan sama ada saya ada musuh, secara jujur adalah mustahil bagi seorang ahli politik tidak mempunyai musuh politik," katanya, lapor Bernama

Beliau percaya bahan letupan itu dilempar ke perkarangan rumahnya selepas jam 1 pagi kerana beliau tidak melihat apa-apa sebaik pulang daripada menghadiri satu majlis kira-kira jam 12 tengah malam.

"Saya bersyukur kepada tuhan ia tidak tidak meletup walaupun ia sudah dibakar," katanya.

Beliau berkata ini bukan kejadian pertama ahli politik DAP di negeri itu menjadi sasaran sedemikian.

"Baru-baru ini bom botol telah dilempar ke perkarangan rumah ahli Parlimen Bandar Kuching dari DAP, Chong Chieng Jen.

"Saya mengutuk perbuatan keji ini," katanya.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini