BERITA Malaysiakini

Tiada nama bertindih di Bgn Pinang

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan bahawa tidak wujud pertindihan nama dalam senarai daftar pemilih di DUN Bagan Pinang, kata Timbalan Pengerusi Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Beliau berkata hasil semakan yang dibuat SPR semalam mendapati tidak wujud penggandaan nama di kawasan itu seperti yang ditimbulkan PAS.

"Kita beri jaminan setelah semakan dibuat hari ini, tidak wujud penggandaan nama di DUN Bagan Pinang yang akan menghadapi pilihan raya kecil.

"Ini bermakna kerisauan tidak berbangkit," katanya ketika dihubungi Bernama .

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ura-ura PAS yang ingin memohon perintah injunksi bagi menghalang 253 pengundi pos daripada mengundi hari ini atas dakwaan wujud pertindihan nama dalam senarai daftar pemilih SPR di DUN Bagan Pinang.

Terdahulu semalam, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengadakan pertemuan dengan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan ahli-ahli SPR lain di ibu pejabat SPR di Putrajaya.

Wan Ahmad berkata dalam pertemuan itu, PAS turut menyerahkan senarai nama yang didakwa bertindih.

Beliau berkata SPR juga akan membuat pemeriksaan menyeluruh senarai daftar pemilih bagi memastikan tidak berlaku penggandaan nama, yang mungkin berlaku apabila anggota tentera mendaftar sebagai pemilih awam sebelum menyertai perkhidmatan itu.

Sementara itu, Mustafa berkata permohonan untuk mendapatkan perintah injunksi itu akan mengambil kira daripada segi praktikalitinya memandangkan undi pos akan dijalankan hari ini.

"Kesannya daripada ini, kita akan lihat. Saya akan bincang dengan peguam lagilah," katanya.

Ditanya sama ada PAS akan mengemukakan petisyen pilihan raya jika BN menang dalam pilihan raya kecil itu, beliau berkata:

"Kita belum tahu lagi. Kita tengok suasana dan keadaan. Kita akan bincang apa tindakan selanjutnya." BERNAMA