Ibu disiasat, terlanggar mati anak
Pelajar tingkatan satu SMK Kubang Kerian 1 maut selepas dilanggar oleh ibunya yang sedang mengundurkan kereta dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Gertak Kecupu di Kota Bharu semalam.
Ketua polis polis ACP Zahruddin Abdullah berkata kejadian berlaku pukul 9.30 malam ketika mangsa Mohd Zainal Abidin Mohd Zamri, 13, berada di belakang kereta itu, ketika ibunya mengundurkan kenderaan tersebut.
"Ibunya yang menyangka balang gas terjatuh cuba memberhentikan kereta, tetapi tertekan pedal minyak menyebabkan kereta bergerak laju ke belakang dan melanggar anaknya sendiri," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Zahruddin berkata mayat mangsa yang cedera parah di kepala dan beberapa bahagian badan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kota Bharu untuk bedah siasat.
Beliau berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis telah mengambil keterangan daripada ibu mangsa.
Sementara itu kunjungan Bernama ke rumah keluarga terbabit bagaimanapun gagal mendapat penjelasan lanjut berhubung insiden itu akibat terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa keluarga mereka. BERNAMA

