Mkini tiada pas untuk liputan perhimpunan Umno
Malaysiakini , sekali lagi, belum lagi diberikan pas media untuk membuat liputan perhimpunan agung Umno yang dijadual berlangsung mulai Selasa depan walaupun 29 media tempatan lain dibenarkan.
Akhbar web The Malaysian Insider juga tidak diberikan keizinan rasmi untuk membuat liputan – seperti tindakan Umno melarang dua akhbar dalam talian ini bersama Merdeka Review dan The Nut Graph berbuat demikian pada perhimpunan agung parti itu, Mac lalu.
Malaysiakini membuat permohonan pas liputan media itu pada 14 September lalu.
The Nut Graph
pula memohon pas tersebut pada akhir September lalu, dan setakat ini tidak mendapat apa-apa maklumat daripada ibu pejabat Umno.
Manakala Merdeka Review tidak membuat sebarang permohonan pada kali ini.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kelihatan agak keberatan memberikan pas tersebut dengan alasan akhbar-akhbar web didakwa tidak melaporkan secara adil dan berimbang.
Tambahnya, Umno bagaimanapun belum lagi memutuskan secara muktamad untuk membenarkan Malaysiakini dan akhbar internet lain membuat liputan minggu depan.
'Sensasi isu'
"Saya tidak mahu memberi komen tentang perkara itu. Kami mahu media seperti kamu membuat laporan yang adil dan berimbang...
"Jika anda tidak adil, anda mensensasikan isu, anda mungkin tidak dibenarkan datang," katanya selepas taklimat media di Kuala Lumpur pagi ini.
Beliau diminta mengulas sama ada Umno akan memperkenalkan larangan serupa terhadap Malaysiakini dan beberapa akhbar web seperti sewaktu pemilihan pucuk pimpinan parti itu dalam perhimpunan agung 2008.
"Kami belum memutuskan tentang perkara itu," tambahnya.
Semakan Malaysiakini selepas sidang media itu mendapati nama akhbar web popular itu tidak dimasukkan dalam senarai organisasi media yang telah diluluskan Umno untuk membuat liputan.
Dalam taklimat itu, Tengku Adnan menjelaskan seramai 4,918 perwakilan termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri dari 191 bahagian Umno akan berhimpun di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama empat hari bermula 13 Oktober ini.
Perhimpunan agung 2009 ini menggabungkan mesyuarat agung khas, yang berlangsung sehari pada 15 Oktober – selepas ucapan dasar presiden, bagi membincangkan usul-usul meminda perlembagaan agung Umno.
Tidak panggil kelab Umno
Dalam taklimat itu juga Tengku Adnan juga menjelaskan bahawa pihak pengurusan Umno memutuskan untuk tidak menjemput wakil-wakil asing hadir ke perhimpunan itu.
Pengurusan parti juga, katanya, memutuskan untuk tidak memanggil kelab-kelab Umno luar negara pulang.
Katanya, keputusan itu dibuat memandangkan parti itu baru sahaja
mengadakan Perhimpunan Agung Umno 2008 pada Mac lepas.
Tengku Adnan juga menjelaskan, hanya dua usul yang akan dibahaskan dalam perhimpunan tersebut.
Usul-usul tersebut adalah usul meminda perlembagaan Umno, antaranya untuk menghapuskan sistem kouta pencalonan serta menambah jumlah perwakilan kepada lebih 100,000 orang di peringkat bahagian, untuk memilih pucuk pimpinan parti.
Manakala satu lagi usul adalah untuk membahaskan ucapan dasar presiden sejurus selepas perhimpunan agung khas tersebut.
Tengku Adnan berkata pindaan Perlembagaan Umno akan menjadikan Umno lebih terbuka dan menarik olongan muda untuk meneruskan perjuangan parti.
'Langkah remajakan Umno'
"Langkah-langkah ini akan meremaja dan memantapkan Umno," katanya.
"Setiap pembahas usul dari negeri serta wakil dari tiga sayap parti akan
diberikan masa selama 15 minit, dan perhimpunan agung Khas itu dijangka dapat itamatkan pada jam 4 petang sebelum perhimpunan agung Umno 2009 diadakan emula," katanya.
Perbahasan ucapan dasar presiden juga diteruskan pada keesokan harinya (16 Oktober), kata Tengku Adnan.
Sebelum itu, perasminan perhimpunan agung tahunan bagi ketiga-tiga sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri - akan berlangsung pada 13 Oktober (Khamis) oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dewan Merdeka pada jam 8 malam.
Ia kemudiannya disusuli dengan perhimpunan agung tahunan masing-masing pada keesokannya (14 Oktober) bermula pada jam 8.30 pagi.
Tengku Adnan berkata, perhimpunan kali ini turut memberi penekanan kepada logo Malaysia di mana pada beg para perwakilan ke perhimpunan itu akan tertera logo tersebut.

