Tiga bank M'sia dibuka di Bosnia
Tiga bank Islam tempatan kini sedang dalam proses persediaan untuk membuka operasi di Bosnia yang dijangka bermula akhir tahun ini, kata Duta Besar Bosnia-Herzegovina ke Malaysia, Ensar Eminovic.
Bagaimanapun, beliau enggan menamakan bank berkenaan.
Eminovic berkata bank berkenaan telah mulai membuat persediaan bagi pelancaran pembukaan operasi itu sejak beberapa bulan lepas.
"Mereka telah bertukar-tukar dokumen perniagaan dan maklumat yang saya ada ialah mereka telah membuat persediaan yang terperinci," katanya pada satu taklimat media mengenai Forum Perniagaan Global Malaysia-Bosnia Herzegovina di Kuala Lumpur hari ini.
Eminovic berkata nama bank berkenaan akan didedahkan pada forum itu, yang akan diadakan dari 8-11 November di Pusat Konvesyen Borneo Kuching, Sarawak.
Katanya, wakil syarikat Bosnia akan menghadiri forum itu dan menjalin perkongsian strategik bagi menembusi pasaran Malaysia.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka menyampaikan ucaptama, katanya.
Eminovic berkata forum itu akan menawarkan peluang bagi peserta tempatan untuk menemui pembuat dasar utama Bosnia seperti ketua pegawai eksekutif Bank Bosnia International, Amer Bukvic dan ketua pegawai eksekuitif Elektrpravada, Amer Jeralgic.
Sementara itu, pengarah urusan Glenreagh Sdn Bhd, Nordin Abdullah berkata, sebagai tambahan kepada peserta utama daripada industri Bosnia, menteri-menteri luar dan pertahanannya akan turut hadir.
Katanya, Bosnia menyasarkan untuk mengembangkan sektor pelancongan, tenaga, pertahanan dan perbankannya.
Glenreagh adalah penganjur forum itu. BERNAMA

