Gerakan cadang tubuh gabungan Pemuda Asia
Pemuda Gerakan mengalu-alukan langkah Dewan Pemuda BN untuk memperkukuhkan lagi hubungan dengan Liga Belia Komunis Cina (CYL) yang sekaligus dapat mempertingkatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-China.
Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Dr Dominic Lau berkata, ia juga merupakan satu permulaan yang baik bagi belia kedua-dua negara untuk mengenali satu sama lain secara yang dekat lagi.
"Kita akan menggunakan wadah ini untuk mempertingkatkan hubungan dan berkongsi pengalaman sesama kita," katanya.
Beliau mengulas perjumpaan antara delegasi CYL dan Dewan Pemuda BN di Wisma Umno di Kuala Lumpur semalam.
Dalam pertemuan tersebut, Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata sebuah urusetia tetap akan ditubuhkan awal tahun depan untuk memperkukuhkan hubungan angara Pemuda BN dan CYL.
Lau, yang turut menghadiri pertemuan tersebut berkata, mereka membincangkan beberapa isu termasuk kecenderungan belia dan penggunaan internet untuk mencapai masyarakat.
"Tetapi kita memerlukan pelan tindakan yang terperinci untuk menangani isu-isu berkenaan," katanya sambil menyarankan agar kedua belah pihak turut memberi perhatian kepada sektor perkhidmatan dan perniagaan.
Lau mencadangkan penubuhan gabungan Pemuda Asia yang dianggotai badan-badan pemuda parti politik di negara Asia.
"Kita boleh mengumpulkan pandangan pemuda Asia dan membandingkannya dengan mereka di negara-negara barat. Ini akan membantu kita untuk memperbaiki lagi kedaaan," katanya.

