Tidak banyak habuan dijangka diumumkan pada bajet yang bakal dibentangkan bulan ini memandangkan kerajaan kini sedang berusaha mengimbangi defisitnya yang meluas, kata rakan percukaian Horwath, Poon Yew Hoe.

Beliau berkata yang kerajaan mungkin mencari jalan untuk mengembangkan pendapatan cukai bagi memenuhi sasaran kutipan.

Dalam hal ini, beliau berkata, GST atau Cukai Barangan dan Perkhidmatan dijangka dumumkan tidak lama lagi sebagai langkah memperluaskan lagi pendapatan cukai kerajaan.

"GST akan meningkatkan pendapatan cukai untuk kerajaan memandangkan kutipan cukai pendapatan sentiasa tidak menentu," kata Poon pada taklimat media bersama oleh RHB Banking Group dan Horwath mengenai Bajet 2010 dan Perancangan Cukai.

Menurut Poon, pelaksanaan GST bagaimanapun, perlu dilakukan pada waktu yang sesuai dan apabila ekonomi telah berada pada tapak yang lebih kukuh serta disertai dengan pengurangan dalam cukai pendapatan.

Berikutan pemulihan ekonomi, beliau berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diberikan lebih insentif cukai untuk merangsangkan pertumbuhan.

Ia boleh dilakukan dalam bentuk penurunan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari majikan dan elaun untuk pelaburan semula.

Beliau juga menggesa kelonggaran diberikan kepada syarat untuk menuntut elaun pelaburan semula (RA) yang diberikan untuk pelaburan menaik taraf kemudahan pengeluaran.

Dari segi insentif cukai seterusnya untuk menarik pelaburan asing langsung dan merancakkan daya saing Malaysia, Poon berkata pada masa ini, ia mencukupi.

Bagaimanapun, beliau maklum, Malaysia perlu berhadapan dengan saingan sengit daripada ekonomi utama yang lain seperti China dan India.

Horwath dan RHB Banking Group akan menganjurkan seminar Bajet 2010 dan Perancangan Cukai bersempena dengan pembentangan Bajet pada 23 Okt.

Seminar akan diadakan di tiga lokasi -- Sunway Resort Hotel and Spa di Kuala Lumpur (29 Okt), Gurney Hotel di Pulau Pinang (3 Nov) dan Grand Paragon Hotel di Johor Bahru (6 Nov).

Horwath ialah ahli kepada Crowne Horwath International, antara 10 pertubuhan perakaunan global terkemuka. BERNAMA