Malaysiakini BERITA

Wanita tuntut jawatan utama GLC

Salhan K Ahmad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Wanita Umno menuntut jawatan penting dalam pengurusan tertinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selepas berjaya membantu jentera BN dalam pilihan raya.

Wakil Pahang, Noor Hasita Mat Isa berkata, ramai pemimpin sayap itu mempunyai kualiti untuk memimpin GLC, setanding dengan lelaki.

"Wanita sentiasa menjadi penggerak kepada kemenangan BN tetapi balasan yang dinikmati adalah tidak setimpal dengan sumbangan tanpa mengira penat lelah yang telah dimainkan," katanya ketika menyokong ucapan dasar ketua Wanita di persidangan agung hari ini.

''Sudah tiba masanya Wanita diberi jawatan tertinggi dalam GLC dan bukan sekadar memenuhi majlis-majlis anjuran BN. Ramai ahli Wanita Umno yang mempunyai kualiti untuk memegang jawatan tersebut.''

Sementara itu, seorang perwakilan Perak pula mahu melihat dasar 30 peratus wanita terlibat dalam barisan kepemimpinan parti itu dilaksanakan segera.

Membahaskan ucapan dasar yang disampaikan Datuk Seri Shahrizat Jalil di persidangan agung pergerakan itu, Salmiah Sutan Taharuddin berkata hampir 100 peratus perwakilan Wanita di seluruh bahagian menyatakan sokongan agar kuota tersebut dipenuhi.

Beliau, yang juga ketua Wanita Gerik, juga berkata kepimpinan Umno tidak seharusnya mengambil ringan perkara ini memandangkan sumbangan sayap tersebut yang besar dalam membina sokongan masyarakat terhadap parti.

"Hampir 60 peratus anggota Umno terdiri daripada wanita yang menjadi gurkha di bahagian-bahagian, yang mencukupkan korum di mesyuarat cawangan-cawangan, yang tidak duduk diam bila ada pilihan raya, yang menjaga anak dan institusi keluarga juga wanita," katanya.

"Jadi jika kita lihat secara logiknya, sememangnya wajib diberi jawatan-jawatan politik dan pembuat dasar yang besar kepada Wanita kerana hampir separuh penduduk negara ini adalah wanita," tambahnya.

Salmiah turut berkata bilangan Wanita yang menjawat jawatan politik dan pembuat dasart bertambah terlalu sedikit.

"Bak kata orang Perak - sekelumit saja. Kita mahu lebih ramai Wanita diberi tempat kerana hanya Wanita yang tahu masalah wanita," katanya lagi.

Tambahnya lagi, tuntutan-tuntutan Wanita sering dipandang mudah oleh pemimpin Umno kerana sikap yang ditunjukkan oleh anggota-anggota Wanita selama ini.

"Adakah kerana Wanita tidak pandai mendesak atau kerana pemimpin tertinggi tidak mahu menghargai sumbangan Wanita?

"Adakah Wanita terlalu bertolak ansur, tidak pandai merajuk? Atau kerana Wanita itu termaklum kesetiaannya?

"Sama ada diberi jawatan atau tidak, Wanita tetap setia. Mungkin kerana itu Wanita diambil mudah oleh pemimpin," katanya lagi.