Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tian Chua mahu kemuka rayuan
Diterbitkan:  Oct 22, 2009 5:58 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Ahli Parlimen Batu Tian Chua akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini yang mendapati beliau bersalah kerana menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis dua tahun lepas.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata beliau tetap mempertahankan pendiriannya yang mendakwa dirinya tidak bersalah dan menganggap kes itu adalah tuduhan bersifat fitnah.

NONE "Saya tidak merasakan ia satu penghakiman yang adil kerana majistret dan pihak pendakwa bergantung kepada keterangan anggota polis terbabit dan berasaskan kepada bukti keadaan.

"Keterangan itu juga tidak membuktikan bahawa kejadian menggigit itu berlaku dan ia tidak jelas," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 ke atas Tian Chua, 46, selepas mendapati beliau bersalah terhadap tuduhan menggigit seorang anggota polis dan menghalangnya daripada menjalankan tugas.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut untuk membolehkan Tian Chua membuat rayuan. Tian Chua mempunyai tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuannya.

Sekiranya Tian Chua gagal dalam rayuannya terhadap hukuman tersebut, maka beliau akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen Batu.

Tian Chua didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, yang bertugas dengan bahagian narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur, di hadapan bangunan Parlimen pada 10.45 pagi, 11 Disember 2007.

Ahli Parlimen itu ditahan sewaktu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengadakan demonstrasi untuk membantah pindaan perlembagaan bagi melanjutkan usia persaraan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari 65 kepada 66 tahun.

Beliau turut mendakwa hukuman itu bertujuan menghilangkan kelayakannya sebagai ahli parlimen tetapi ia tidak akan menjejaskan agendanya untuk berkhidmat kepada rakyat. - Bernama

ADS