Seorang murid Tahun Tiga di sebuah sekolah di Pusat Bandar Puchong mendakwa trauma selepas ditampar hingga bengkak oleh

seorang guru disiplin hanya kerana lewat 10 minit ke sekolah.

Ibu murid itu V Kavitah, 29, berkata anaknya turut mendakwa saluran pendengaran kanannya sedikit terganggu dan demam akibat ditampar hingga menyebabkan dia tidak mahu ke sekolah kerana trauma dengan kejadian pukul 7.40 pagi kelmarin.

Kavitah semalam berkata anaknya terlewat tiba di sekolah akibat terperangkap dalam kesesakan teruk lalu lintas.

Kavitah berkata pagi semalam dia membawa anaknya itu ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalani pemeriksaan dan anaknya disahkan mengalami kecederaan dalaman, namun dijangka sembuh dalam tempoh terdekat.

"Tindakan guru itu memukul anak saya tidak sepatutnya berlaku apatah lagi anak saya seorang perempuan.

"Saya hanya mendapat tahu mengenai kejadian ini daripada anak saya ketika menjemputnya pulang dari sekolah selepas tengah hari semalam (26 Okt)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di balai Bukit Puchong.

Kavitah kesal guru besar mahupun guru disiplin enggan meminta maaf apabila beliau ke sekolah berkenaan pagi semalam untuk mendapatkan penjelasan berhubung kejadian itu.

"Justeru saya kemudian mengambil keputusan untuk membuat laporan polis kerana mahu anak saya mendapat keadilan dan supaya guru itu tidak sewenang-wenangnya memukul pelajar. Saya tidak mahu pelajaran anak saya terjejas," katanya. BERNAMA