BERITA Malaysiakini

Kes Teresa Kok cabar menteri 4 Feb

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumour hari ini menetapkan 4 Feb tahun depan untuk pengurusan kes berhubung saman oleh anggota parlimen DAP bagi Seputeh, Teresa Kok Suh Sim, terhadap bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar dan tiga yang lain kerana membuat kesilapan menangkap dan menahan beliau mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Timbalan Pendaftar Nazri Ismail menetapkan tarikh itu selepas kes itu disebut di hadapannya dalam kamar hari ini.

Pada 13 Mac lepas, Kok mengemuakakan saman itu terhadap Syed Hamid, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, pegawai polis DSP E Kim Tien, dan kerajaan Malaysia, dengan mendakwa bahawa penangkapan dan penahanan beliau di hadapan rumahnya di OG Height di Kuala Lumpur pada 11.15 malam 12 Sept tahun lepas, dilakukan tanpa asas dan menamakan keempat-empatnya sebagai defendan.

Dalam kenyataan tuntutannya, Kok berkata disebabkan oleh kecuaian dan tindakan sembarangan kesemua defendan, beliau berdepan dengan tekanan mental, keperitan dan kesengsaraan akibat keracunan makanan dan juga penafian haknya daripada segi perlembagaan.

Kok diwakili peguam SN Nair, manakala kesemua defendan diwakili peguam kanan persekutuan Lailawati Ali. BERNAMA