Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor meletak matlamat untuk menjadikan Selangor hub ilmuwan dan hub pendidikan, kata exco negeri, Dr Halimah Ali.

Langkah tersebut, katanya, untuk menjadi Selangor pusat tumpuan utama dalam pendidikan dan rujukan para ilmuwan di negara ini dan di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, satu kata Dr Halimah, satu perbincangan akan diadakan pada 29 Disember depan bagi memperincikan tentang hub ilmuan, hub pendidikan tersebut.

Katanya, ia akan melibatkan cerdik pandai pelbagai lapangan, NGO, pemimpin masyarakat, aktivis pendidikan, pertubuhan mahasiswa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Semua ADUN, ahli parlimen Selangor sama ada daripada Pakatan mahupun BN adalah dijemput untuk berbincang perkara ini," katanya sambil menambah jabatan dan agensi juga akan dijemput untuk memberi sumbangan.

Dr Halimah yang juga pengerusi jawatankuasa tetap pendidikan, pendidikan tinggi dan pembangunan modal insan, menegaskan demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Kualiti pendidikan

"Justeru, kerajaan Selangor perlu terlebih dahulu membawa rakyatnya ke satu peringkat yang membudayakan ilmu sebagai langkah asas yang utama untuk mencapai matlamat ini," katanya yang juga ADUN Selat Klang.

Selain itu, katanya, kualiti pendidikan di semua peringkat harus diperkasakan.

"Ini meliputi pendidikan peringkat awal di peringkat tahun-tahun formatif yang kritikal iaitu 0-6 tahun, peringkat sekolah rendah, menegah hingga ke Universiti bahkan sepanjang hayat," tambahnya.

Beliau berkata, sistem sokongan pendidikan, termasuk pembinaan infrastruktur perpustakaan dan program penjenamaan semula perpustakaan serta premis institusi pendidikan.

Ia juga, katanya, meliputi kemudahan/infrastruktur yang membantu mengoptimumkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Menurutnya, melalui program cambah fikiran, forum, dialog dan seminar, maka cendiakawan, NGO dan aktivis masyarakat, disedar dan digerakkan untuk menyambut seruan kerajaan untuk sama-sama bangkit melahirkan budaya ilmu.

Sambil menegaskan bahawa semua program dan perancangan melibatkan semua kaum, Dr Halimah berkata, usaha meningkatkan kualiti pendidikan merangkumi pemantapan proses pengajaran dan pembelajaran yang holistik dan relevan sama ada secara formal mahupun tidak formal.

Program tuisyen rakyat

Selain itu, katanya, ia juga akan meningkat literasi ICT di kalangan guru sekolah kerajaaan negeri, mengadakan program tuisyen rakyat percuma calon SPM 2009 dari golongan berpendapatan kurang daripada RM1,500; meningkatkan elaun guru KAF, program motivasi ibu bapa, pelajar, PROGRAM SPIES Pendidik; SPIES PIBG; Program Jejak Ilmuwan.

"Bagi mempercepatkan lagi proses pencapaian matlamat ini, beberapa siri program dilaksanakan termasuk mewujudkan jaringan mahasiswa melalui pertubuhan mahasiswa di IPTA/IPTS dan pihak relevan dalam lingkaran pendidikan," katanya.

Lantaran itu, katanya, beberapa majlis permuafakatan ditubuhkan, iaitu Majlis Permuafakatan PIBG, Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor, Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Selangor.

Langkah tersebut, katanya, sebagai usaha kreatif untuk melibat semua pihak yang telah dinafikan hak untuk bekerjasama secara langsung, khususnya oleh Kementerian Pelajaran.

Dr Halimah berkata, jawatankuasa tetap pendidikan/pendidikan tinggi negeri akan memintas sekatan-sekatan tidak demokratik itu bagi membolehkan pelajar, guru, ibubapa, pakar pendidikan di Selangor, menikmati perancangan dan tawaran yang disediakan.

"Contohnya, program tuisyen rakyat , bengkel teknik menjawab soalan SPM (3500peserta) di Dewan Jubli Perak, solat hajat perdana Di Masjid Negeri(2000 peserta), SPIES," katanya.