Najib jumpa pemimpin MCA sebelum 28 Nov
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu menemui semua pemimpin kumpulan yang bertelagah alam MCA untuk mencari jalan bagi menyelesaikan krisis yang melanda parti itu sekarang.
Katanya, ini kerana beliau melihat krisis MCA sekarang telah menjadi lebih serius dan buruk lagi.
Perdana menteri berkata, kegagalan kepimpinan MCA mencapai penyelesaian, boleh mengakibatkan parti komponen kedua terbesar BN tidak mendapat kepercayaan dan keyakinan masyarakat Cina dan kaum-kaum lain.
"Saya akan cari dan luangkan masa untuk berbincang dengan mereka dan lihat jika dapat mencari titik persamaan, kita akan mulakan dari situ," katanya selepas merasmikan Perhimpunan Agung Jawatankuasa Paralimpik 2009 di ibunegara hari ini.
Menjawab soalan, Najib yang juga pengerusi BN berkata kemungkinan beliau akan bertemu dengan pemimpin kumpulan-kumpulan berkenaan secara berasingan dan akan cuba berjumpa dengan mereka sebelum 28 November.
Kumpulan yang menyokong Naib Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai bakal mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada tarikh tersebut untuk membincangkan supaya pemilihan semula parti diadakan.
Najib berkata banyak pihak kecewa dengan apa yang sedang berlaku dalam MCA sekarang.
"Sebenarnya kalau kita nak cari satu formula perpaduan, maka tindakan kita juga mesti mencerminkan hasrat tersebut.
“Nampaknya setakat ini, apa yang berlaku dalam MCA tidak memberi keyakinan lagi kepada mereka yang di luar MCA termasuk rakan-rakan komponen," katanya.
Perdana menteri juga berkata krisis MCA sekarang boleh memberi kesan kepada
BN terutama dalam usaha memulihkan imej BN di mata rakyat.
"Ya, ini akan menjejaskan usaha kita untuk memulihkan kedudukan BN di mata rakyat. Rakyat kini melihat Umno sebagai amat stabil dan telah melalui proses transformasi dan memaparkan imej baru kepada rakyat.
"Dan kita berharap parti-parti lain akan dapat bersatu dan mencerminkan hasrat untuk memaparkan imej baru bagi BN," katanya.
Semalam, dalam tindakan yang terbaru, Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat menggantikan sembilan ahli majlis presiden dengan mengugurkan ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun yang menyokong Liow. - Bernama

