Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bapa korban jambatan runtuh tuntut RM105 juta
Diterbitkan:  Nov 20, 2009 6:37 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Tiga bapa kepada tiga peserta Kem 1Malaysia yang terkorban dalam tragedi jambatan gantung runtuh di pusat kokurikulum pejabat pelajaran daerah Kinta Selatan di Kampar pada 26 Oktober lalu, memfailkan saman menuntut gantirugi berjumlah RM105 juta.

K Mageswaran, K Vasudevan dan T Nathan memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menuntut gantirugi itu dari 10 defenden. Insiden itu berlaku di pusat tersebut yang terletak berhampiran Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang.

Dalam saman itu, mereka menamakan sebagai defendan, guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, gurubesar SJKT Gopeng; Ketua Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan; Pengarah Pelajaran Negeri Perak; Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar; Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dan Komanden Kem 1Malaysia Kuala Dipang.

Pihak yang lain yang disaman ialah penderma jambatan gantung itu iaitu syarikat GS Synergy Sdn Bhd, syarikat kontraktor CWL Enterprise, menteri pelajaran dan kerajaan Malaysia.

Writ saman itu difailkan melalui Tetuan A.Sivanesan & Co pada pagi tadi di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Ipoh.

Selain menuntut gantirugi am sebanyak RM35 juta setiap seorang, mereka masing-masing menuntut RM19,120 bagi gantirugi khas, RM100,000 bagi gantirugi teladan, faedah 8 peratus bagi jumlah penghakiman dari tarikh kematian hingga tarikh penyelesaian sepenuhnya, kos guaman dan apa-apa relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Plaintif mendakwa, pada masa kejadian, kawasan itu dipercayai gelap gelita, tidak ada lampu besar yang dipasang untuk keselamatan murid-murid, dan ini menunjukkan kecuaian kerana dengan adanya lampu besar, kanak-kanak yang jatuh ke dalam sungai boleh dilihat dengan jelas serta mempunyai peluang yang lebih baik untuk menyelamatkan diri atau diselamatkan.

Mereka juga mendakwa tidak ada seliaan atau kawalan yang baik di jambatan oleh pihak penganjur yang mana sepatutnya penggunaan jambatan perlu diawasi, dengan menentukan kapasiti iaitu bilangan murid yang boleh menggunakan pada satu-satu masa.

Mereka juga mendakwa murid-murid tidak dilengkapi jaket keselamatan ketika menyeberangi sungai, guru-guru didapati tidak terlatih untuk mengendalikan kem seperti itu serta tiada doktor atau pegawai perubatan ditempatkan untuk keselamatan peserta kem tersebut.

Plaintif juga mendakwa jambatan gantung tersebut tidak diperiksa oleh Majlis Daerah Kampar dan Jabatan Kerja Raya Perak bagi memastikan ciri-ciri keselamatan telah dipatuhi.

Mereka juga mendakwa kematian anak-anak mereka amat menyedihkan dan telah mengancam ketenteraman mereka dan keluarga selain masih mengalami dan menanggung

kehilangan dan kerugian. - Bernama

ADS