Most Read
Most Commented
Read more like this

berita tergempar

Presiden PAS Datuk Fadzil Noor meninggal dunia pagi ini, kira-kira dua minggu selepas menjalani pembedahan pintasan pembuluh jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada 10 Jun lalu.

Menurut Setiausaha Politiknya, Dr Hatta Ramli, ketua pembangkang yang berusia 65 tahun itu, meninggal dunia pada jam 10.30 pagi ini di unit rawatan kecemasan (ICU), HUKM di Cheras, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, jenazah Allahyarham akan dibawa balik ke Kedah untuk dikebumikan di kawasan perkuburan Islam Muassasah Darul Ulum, selepas sembahyang Asar hari ini.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Khadijah Ibrahim dan lapan orang anak.

Sebelum ini, keadaan kesihatan Allahyarham sehingga semalam dilaporkan semakin pulih walaupun, pembedahan pintas pembuluh jantung yang dijalaninya itu dianggap 'berisiko tinggi'.

Allahyarham juga mengidap penyakit kencing manis, menyebabkan kegagalan buah pinggangnya berfungsi.

Pada 10 Mei lalu, Fadzil telah dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu selepas mengadu sakit dada, tetapi keadaan kesihatannya terus merosot kerana dipercayai akibat beban kerja setelah menghadiri Muktamar tahunan parti di Kota Bharu hujung bulan lalu.

Fadzil dimasukkan ke HUKM Khamis minggu lepas untuk menjalani pemeriksaan susulan akibat serangan jantung pada 10 Mei lalu.

Keadaan kritikal

Fadzil, yang juga merupakan ahli parlimen Pendang, berada dalam keadaan kritikal sejak menjalani pembedahan pintasan pembuluh jantung itu selama lima jam pada Jun lalu. Beliau juga berada di dalam keadaan tidak sedarkan sejak pembedahannya.

Fadzil dilahirkan di Kampung Seberang Pumpung, Alor Star, Kedah pada 12 Mac 1937. Allahyarham adalah daripada keluarga ulama yang dihormati, salah seorang daripadanya ialah Tuan Guru Haji Idrus Al-Jarumi, yang berasal dari Patani, Thailand.

Anak sulung daripada empat adik-beradik, Fadzil menerima pendidikan awalnya di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar. Beliau kemudian melanjutkan pelajarannya di sekolah agama, Maktab Mahmud in Kedah.

Pada tahun 1963, Fadzil menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya ke Universiti al-Azhar di Mesir, dan lulus dalam pengajian Undang-undang Syariah.

Sekembalinya ke Malaysia pada 1967, Fadzil mengajar di Maktab Mahmud dan kemudiannya menjadi pensyarah pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (1973 hingga 1978).

Beliau bagaimanapun, dipecat daripada universiti itu kerana pembabitannya dalam kegiatan politik dengan mewakili PAS bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri, dan Kerusi Parlimen Kuala Kedah pada 1978.

Bagaimanapun, mahkamah membuat keputusan bahawa pemecatan beliau tidak sah dan berikutan itu, beliau diterima semula bertugas di UTM.

Politik sepenuh masa

Tiga bulan kemudian, Fadzil meletakkan jawatan untuk membabitkan diri secara sepenuh masa dengan PAS, yang disertainya sejak belajar di Maktab Mahmud lagi.

Pada tahun 1974, Allahyarham yang juga setiausaha penerangan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) turut serta dalam demonstrasi di Baling, Kedah di mana bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga presiden Abim, ditahan.

Berikutan penahanan Anwar, Fadzil dilantik sebagai pemangku presiden Abim. Pada 1978, Fadzil bertanding atas tiket PAS bagi kerusi Parlimen Kuala Kedah dan kerusi DUN Alor Merah.

Pada 1980, Fadzil mewakili PAS bertanding bagi kerusi DUN Bukit Raya dan menang dalam pilihanraya umum itu. Pada 1981, beliau dilantik sebagai naib presiden PAS.

Pada 1982 beliau bertanding bagi kerusi DUN Bukit Raya dan menang dengan majoriti kecil 346 undi. Pada 1983, Fadzil dilantik sebagai timbalan presiden PAS.

Pada 1986, Fadzil bertanding bagi kerusi DUN Bukit Raya dan menang dengan majoriti 2,215 undi. Pada 1989, beliau dilantik sebagai presiden PAS. Allahyarham sekali lagi bertanding bagi kerusi Bukit Raya pada 1990, dengan memenanginya dengan majoriti 1,829 undi.

Pengagihan kuasa

Dalam pertandingan bagi kerusi yang sama pada 1995, Fadzil memang dengan majoriti lebih tinggi sebanyak 2,414 undi. Pada tahun yang sama, beliau juga bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Kedah, tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional.

Dalam pilihanraya umum 1999, Fadzil memenangi kerusi DUN Anak Bukit dan kerusi Parlimen Pendang. Berikutan itu, beliau telah dilantik sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Beberapa hari selepas pembedahan Fadzil, pucuk pimpinan PAS telah mengagihkan segala tugas beliau kepada timbalannya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Gambar-gambar di hospital oleh Colin Nicholas.

ADS