Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Kurangkan untung IPP sebelum naikkan tarif elektrik

SM Mohamed Idris

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sekali lagi mengulangi gesaan kepada kerajaan supaya mengkaji semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) sebagai ganti menaikkan tarif elekrtik.

Premis bagi mengkaji semula PPA adalah mudah. IPP menghasilkan keuntungan berlebihan yang ditanggung oleh pihak industri dan pengguna Malaysia, dan mereka kini diminta untuk memotong lebihan itu bagi manfaat negara keseluruhan.

Keuntungan berlebihan dikumpulkan melalui peraturan yang melihat banyak IPP mendapat manfaat dalam persekitaran risiko yang hampir sifar atau amat minimum. Bayangkan, dilindungi daripada risiko sejak daripada pembinaan sehinggalah kepada peringkat operasi serta dalam pembiayaan projek.

Kontrak Kejuruteraan, Pemerolehan dan Pembinaan (EPC) menjaga risiko dalam kenaikan harga, kelewatan pembinaan, dan tukaran asing manakala penalti seperti kegagalan untuk memenuhi tarikh siap dan bagi pelaksanaan yang tidak memenuhi piawaian distrukturkan dalam perjanjian O & M dengan pihak OEM (Pengeluar Peralatan Asal).

Sebagai tambahan, hampir semua pinjaman IPP adalah dalam mata wang ringgit. Jika IPP boleh membuat keuntungan yang begitu besar dengan hampir tiada risiko yang terlibat, mereka seharusnya memberikan kembali kepada orang ramai melalui kajian semula PPA.

Lebihan kapasiti punca mahal

IPP membelakangkan isu sebenar mengenai lebihan kapasiti memandangkan kapasiti lebihan sebenarnya amat mahal untuk ditanggung oleh pengguna. Ini adalah hasil langsung daripada kapasiti bayaran yang amat tinggi yang terpaksa dibayar oleh TNB bagi kapasiti yang dibina oleh IPP.

Malah IPP terus mendiamkan diri mengenai kadar dan pulangan mereka dan enggan untuk memberitahu harga yang tinggi dibayar oleh TNB dan keuntungan yang besar yang dinikmati oleh IPP adalah sebahagian besarnya hasil daripada anggaran konservatif oleh IPP yang dibuat dan dibentangkan pada masa menandatangani PPA.

Kos projek salah satu IPP baru lebih rendah berbanding kos yang digunakan dalam menentukan kadar kapasiti IPP. Perbezaannya adalah dianggarkan RM1 bilion. Ini membawa kepada kapasiti bayaran yang jauh daripada menggambarkan kos sebenar yang ditanggung oleh IPP dalam memajukan loji mereka.

Ini bermakna IPP dibayar berlebihan dan memperolehi semula lebih daripada apa yang mereka laburkan. Berdasarkan kepada kesan langsung kos berkaitan IPP terhadap tariff pengguna TNB, ini adalah satu ketidakadilan kepada pengguna elektrik Malaysia dan usaha mestilah dibuat untuk memperbetulkannya melalui kajian semula PPA.

Kajian semula PPA bawah keadaan ini bukanlah sesuatu yang asing kepada pihak industri. IPP milik TNB seperti Kapar Energy Ventures Sdn Bhd dan TNB Janamanjung Sdn Bhd (Janamanjung), mempunyai kapasiti kadar bayaran dikaji semula dan dikurangkan untuk menggambarkan kos projek sebenar yang lebih rendah.

Difahamkan bahawa dalam kes TNB Janamanjung, pengurangan ini hampir separuh daripada kasar asal. Tiada alasan mengapa perkara yang sama tidak boleh dilanjutkan kepada IPP lain.

Kos IPP sebabkan tarif tinggi

Bayaran IPP dikaitkan kepada kenaikan tarif elektrik. Bayaran kepada IPP merupakan lebih daripada 50 peratus daripada kos TNB dan ini diramalkan mencapai RM12 bilion pada 2009. Ia hanya logik bahawa bayaran IPP akan memainkan peranan signifikan dalam sebarang penentuan tarif elektrik untuk pelanggan Malaysia.

Penentuan mudah tarif elektrik boleh dijelaskan seperti berikut:

Tarif Akhir = Tarif Asas + Pelarasan Bahan Api

- Pelarasan bahan api akan ditangani melalui cadangan bahan api dipindahkan melalui formula dalam tarif;

- Tarif Asas antara lain terdiri daripada perkara berikut: Kos menaja jamin IPP oleh TNB, kos tetap dan berubah-ubah yang ditanggung oleh TNB dalam mengendalikan perniagaan penjanaan, penghantaran dan pengedaran, dan juga, kos pembiayaan, cukai dan sebagainya.

Usaha untuk memperbaiki prestasi dan merendahkan kos penyelenggaraan dan operasi telah diambil alih oleh TNB dan ini telah menghasilkan dalam penjimatan kos yang signifikan. Bagaimanapun, jumlah simpanan yang boleh dicapai melalui cara ini adalah terhad.

Satu lagi perkara yang perlu disebutkan di sini ialah kadar pulangan kepada TNB adalah rendah dan dikawal oleh kerajaan.

Oleh itu, hanya bidang tertentu yang masih belum diterokai dalam usaha mengurangkan kos IPP. Memandangkan kos IPP melibatkan sebahagian besar kos, sebarang pengurangan akan mempunyai kesan positif ke atas tarif elektrik.

'Kajian semula secara holistik'

IPP telah meminta Kerajaan menubuhkan pasaran elektrik supaya tarif boleh menggambarkan harga bidaan kumpulan elektrik. Malah IPP juga telah menyatakan bahawa mereka mahukan kapasiti pembayaran mereka tidak terjejas. Perkara ini tidak munasabah.

Mempunyai kapasiti pembayaran yang “tidak terjejas” dalam persekitaran pasaran akan hanya memberikan IPP lebih peluang untuk meningkatkan keuntungan mereka. Tambahan lagi, IPP dengan bahagian pasaran yang besar boleh menguasai pasaran dan menyebabkan harga dikekalkan pada peringkat yang lebih tinggi.

Elektrik tidak sama dengan bahan komoditi lain. Ia tidak boleh disimpan dan mestilah dihasilkan dengan segera. Ketidakserasian dalam permintaan dan bekalan boleh memberikan kesan kepada sistem keselamatan yang membawa kepada kemalapan atau malah terputus bekalan elektrik.

Struktur pasaran di seluruh dunia telah membuktikan persaingan membawa kepada harga yang lebih rendah, peserta pasaran akan terlibat dalam memaksimumkan keuntungan yang menyebabkan harga meningkat. Kemelesetan kewangan hari ini adalah contoh jelas terhadap apa yang boleh berlaku jika ketamakan dibiarkan berleluasa.

Gesaan IPP supaya "mengkaji semula industri tenaga secara holistik" yang sukar dan memakan masa itu telah digunakan sekali lagi sebagai taktik untuk menangguhkan sebarang langkah bagi mengurangkan keuntungan PPA dan menyalurkan keuntungan itu kembali kepada pembekal industri elektrik.

Kelewatan ini juga bermakna IPP akan terus mengambil kesempatan daripada pulangan tinggi semasa yang diperolehi mereka pada masa kini. Tarif elektrik akan terus meningkat dan pelanggan elektrik akan menderita sekalipun usaha terbaik TNB untuk menguruskan kosnya.

Perubahan struktur tidak akan berjaya dalam mengurangkan beban kepada pelanggan jika alasan bagi bayaran berlebihan kepada IPP tidak ditangani.

Bayaran kepada IPP tidak mapan

Dalam persekitaran semasa sewaktu negara sedang berdepan dengan krisis kewangan dan pengguna Malaysia sedang berdepan dengan peningkatan ketara dalam kos kehidupan, bayaran lumayan kepada IPP adalah tidak mapan.

Tambahan lagi, semua peserta industri lain telah memainkan peranannya contohnya Petronas melalui subsidi gas; TNB melalui penyerapan kos yang tinggi; dan pelanggan melalui tarif yang tinggi.

Hanya satu yang tinggal iaitu IPP yang sebahagian besarnya terus tidak terusik dan terus mengaut keuntungan besar malah apabila pihak industri berdepan masalah akibat kenaikan kos bekalan.

Kerajaan dalam semua kebijaksanaannya tidak meminta IPP untuk “memulangkan” keuntungan lumayan mereka yang diperolehi mereka sebelum ini.

Rundingan semula PPA ialah untuk melihat ke depan dan untuk mengkaji semula pulangan yang akan dibenarkan kepada IPP pada masa depan, mengenal pasti keperluan untuk membantu orang ramai pada masa sukar ini.

Elektrik adalah keperluan dan keuntungan berlebihan daripada komoditi penting ini seharusnya tidak dibenarkan hingga menjejaskan kualiti kehidupan rakyat Malaysia.

Dalam satu kenyataan yang dibuat pada Januari 2009, presiden TNB dan ketua pegawai eksekutif Datuk Seri Che Khaleb Mohamad Noh dipetik sebagai berkata tenaga dan kapasiti pembayaran kepada pengeluar tenaga bebas pada 2009 dijangka meningkat kepada RM12 bilion dan rundingan semula PPA merupakan salah satu cara untuk mengurangkan tarif.

Sehubungan itu, CAP menggesa kerajaan supaya mengkaji dan merunding semula PPA sebagai ganti menaikkan tarif elektrik.

SM Mohamed Idris presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)