Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ) membantah tindakan Kementerian Dalam Negeri melambatkan pengedaran dua majalah mingguan antarabangsa.

Pengarah eksekutif CPJ Ann Cooper berkata kerajaan Malaysia mempunyai sejarah mengenakan pelbagai halangan birokrasi untuk mengawal media.

"Kami sedang memantau situasi ini untuk melihat sama ada ia adalah sebahagian usaha (Malaysia) untuk menapis media luar negara pada masa depan," katanya di Bandaraya New York, Amerika Syarikat. "CPJ rasa bimbang tindakan kerajaan Malaysia itu."

KDN menangguhkan pengedaran dua edisi majalah Asiaweek dan Far Eastern Economic Review , kedua-duanya dicetak di Hong Kong.

Majalah Asiaweek edisi Mac 2 yang sepatutnya diedar tiga minggu lalu hanya mendapat keizinan dua hari lalu, sementara Review edisi Mac 1 diberikan keizinan minggu lepas, setelah lewat seminggu.

Menurut pengedar tempatan majalah-majalah tersebut, Magazine Services (M) Sdn Bhd, kementerian masih belum meluluskan pengedaran Review dan Asiaweek , masing-masing edisi 8 dan 9 Mac.

Edisi-edisi tersebut sepatutnya berada di pasaran minggu lepas.

Syarikat pengedaran itu memberitahu malaysiakini bahawa surat kelulusan pengedaran majalah luar negara biasanya dikeluarkan oleh KDN seminggu sebelum tarikh di kulit majalah.

"Biasanya, kami akan menghantar edisi terbaru majalah-majalah ini kepada KDN untuk ditapis pada hari Jumaat dan menerima kelulusan pada hari berikutnya atau pada hari Isnin (minggu berikutnya)," kata seorang pegawai.

Majalah-majalah tersebut akan dijual di pasaran dan dihantar terus kepada pelanggan-pelanggan tetap enam hari sebelum tarikh majalah.

Review and Asiaweek masing-masing mempunyai 15,000 and 25,000 pembaca di Malaysia.

Edisi Internet bagi keluaran terbaru kedua-dua majalah tersebut boleh didapati di laman web masing-masing.