Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM: Tiada niat tutup kes enjin jet TUDM hilang
Diterbitkan:  Dec 21, 2009 12:17 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

kemaskini 1.50pm Kerajaan tidak berhasrat menutup kes kehilangan enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berharga RM50 juta, kata perdana menteri.

Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan tersebut selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia di Putrajaya hari ini.

Menurut Bernama , beliau berkata aduan polis telah dibuat apabila Kementerian Pertahanan menyedari tentang kejadian tersebut yang berlaku semasa beliau menjadi menteri berkenaan.

"Kita telah pergi kepada polis, ketika itu saya adalah menteri yang berkenaan.

"Saya membuat keputusan bahawa kita perlu membuat laporan kepada polis," beliau dipetik berkata selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia di Putrajaya hari ini.

Sabtu lalu, menteri pertahanan mendedahkan enjin pesawat pemintas F-5E yang disedari hilang pada 2007 telah dijual kepada syarikat antarabangsa dari negara yang berpangkalan di Afrika Selatan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata syarikat antarabangsa itu dipercayai telah mengupah ejen tertentu untuk melarikan enjin pesawat bernilai RM50 juta itu ke luar negara.

Mengenai seorang brigadier jeneral yang diarah bersara berhubung kes itu tetapi pencennya dikekalkan, lapor agensi berita itu lagi, perdana menteri berkata ia bergantung kepada bentuk kesalahan yang dilakukannya dan terpulang kepada pihak TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia untuk membuat keputusan mengenai perkara itu.

"Kita tunggu sehingga laporan penuh dikeluarkan kerana kita telah bekerjasama dengan polis," katanya.

ADS