Pengawal Trafik Udara dipersalahkan berikutan insiden yang hampir-hampir mengakibatkan pertembungan sebuah pesawat Virgin Blue dari Melbourne, dan pesawat Cathay Pacific yang dalam penerbangan ke Melbourne.

Northern Territory News hari ini melaporkan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sedang menyiasat bagaimana pesawat penumpang Boeing Virgin Blue dan Airbus A330 Cathay Pacific nyaris bertembung di udara pada Selasa lepas, dan menggambarkan insiden itu sebagai "serius."

Penerbangan DJ1457 Virgin Blue membawa 120 penumpang apabila pesawat itu didapati memasuki laluan penerbangan CX135 Cathay Pacific di selatan Katherine dalam ruang udara Northern Territory Selasa lepas.

Laporan awal mendapati kedua-dua penerbangan itu sedang menuju ke arah satu sama lain dalam "laluan dua hala" yang sama.

Difahamkan Virgin Blue yang terbang ke arah utara berada terlalu hampir dengan penerbangan Cathay Pacific yang sedang menghala ke selatan dari Hong Kong ke Melbourne.

ATSB berkata sehinggalah krew pesawat Cathay Pacific menyoal pengawal trafik berkenaan, dan pengawal itu kemudian mengarahkan mereka supaya naik ke laluan lain penerbangan serta memberi kebenaran untuk pesawat itu melencong ke kanan, berjaya mengelak daripada berlaku pertembungan.

Krew penerbangan Virgin Blue kemudian memberitahu pengawal trafik udara bahawa mereka akan melencong ke kanan, dan kedua-dua pesawat melewati satu sama lain dengan selamat.

Penyiasat ATSB menganggapkan insiden itu sebagai "serius".

Kesilapan itu dipercayai dilakukan oleh pengawal trafik udara yang berpangkalan di Brisbane. BERNAMA