dikemaskini Sahabat Alam Malaysia (SAM) membidas kenyataan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang disifatkannya "sangat tidak bertanggungjawab dan tidak profesional" kerana ingin membatalkan pendaftaran NGO berpengaruh itu berdasarkan "prasangka dan andaian."

"Adalah sangat tidak adil SAM dituduh dengan dakwaan yang tidak berasas tersebut.

"Soalnya apakah hanya dengan prasangka dan andaian sahaja sudah cukup SAM seolah-olah harus disikapi dengan kecurigaan yang melampau," kata seorang ahli majlisnya Mohd Azmi Abdul Hamid.

"Kami mempersoalkan kenyataan tersebut kerana dengan imej curiga yang dibayangkan oleh ROS, tuduhan sudahpun dilontarkan kepada SAM.

"Kenyataan seperti ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan tidak profesional."

Terkejut dengan kenyataan ROS itu, tambahnya, pendaftar itu sendiri belum menerima aduan rasmi berhubung aktiviti SAM – membantah kegiatan pembalakan, perladangan komersial dan pembinaan empangan – yang dicurigai sebagai "kegiatan yang menggugat kepentingan negara".

Mohd Azmi berkata, SAM bagaimanapun "sudah dihukum" oleh ROS melalui kenyataannya semalam yang juga memberi isyarat kepada agensi-agensi lain bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengambil tindakan.

Beliau juga berkata, isu yang dibangkitkan oleh SAM, seperti dasar dan bidang kuasa kerajaan, sepatutnya dijelaskan oleh kementerian atau jabatan berkaitan.

"Kenapa pula ROS yang menuding jari terhadap SAM dengan tuduhan bahawa ia menggugat kepentingan negara?" katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Datuk Mohd Alias Kalil yang dilaporkan menyebut pendaftaran SAM boleh dibatalkan sekiranya ada bukti kukuh ia menjalankan kegiatan yang menggugat kepentingan negara.

Beliau dipetik berkata masih banyak maklumat diperlukan sebelum ROS dapat mengambil tindakan terhadap pertubuhan itu yang telah bergiat sejak lebih 30 tahun lepas.

Mohd Alias juga dilaporkan berkata pihaknya akan membuat pemantauan rapi terhadap SAM atau NGO lain yang cuba memperjuangkan objektif mereka secara keterlaluan.

Menurutnya, apa-apa tindakan ROS juga perlu disusuli dengan tindakan daripada agensi-agensi lain bawah KDN bagi memastikan sesuatu pertubuhan tidak bergiat secara haram setelah pendaftaran dibatalkan.